Sampah Anda Mungkin Harta Orang Lain

Teks: Rafeah Wahi

Pernahkah anda berfikir sebelum membuang sesuatu ke dalam tong sampah anda? Sampah anda mungkin harta bagi sesetengah orang. Teruskan membaca entri ini untuk mengetahui mengapa saya kata begitu.

Purata pengeluaran sampah harian di Malaysia ialah 22,000 tan sehari [1]. Angka ini termasuk sampah domestik, sisa pembinaan, sisa pembersihan awam, dan lan-lain. Kebiasaannya kawasan yang lebih maju dan mempunyai ramai penduduk berpendapatan tinggi mempunyai kadar pengeluaran sampah per kapita yang lebih tinggi berbanding kawasan luar bandar.

Sekitar 50% daripada jumlah sampah di Malaysia terdiri daripada sisa makanan dan sisa dapur. Selebihnya adalah sisa lain seperti plastik, kertas, kaca, dan sebagainya. Kos pengurusan sampah pula mencecah 30-40% daripada belanjawan pihak berkuasa tempatan  [1].

Suatu perkara yang menarik ialah di sebalik kadar pengeluaran sampah per kapita yang tinggi itu, wujud satu golongan yang menjadikan sampah sebagai sumber pendapatan mereka. Mungkin anda pernah melihat seseorang menyelongkar tong sampah untuk mendapatkan tin aluminium ataupun botol kaca dan plastik. Ini pemandangan biasa. Namun ada lagi sumber pendapatan hasil kitar semula yang kita jarang lihat sendiri tetapi memang wujud dalam kalangan masyarakat kita. Aktiviti mengutip dan mengitar semula sampah di tapak pelupusan sampah ini dinamakan landfill scavenging atau recyler.

Aktiviti landfill scavenging ini walaupun amat baik untuk alam sekitar dan ekonomi keluarga para scavengers, namun sebenarnya ia mengganggu operasi di kawasan tapak pelupusan sampah. Hal ini kerana, setiap penghujung hari, semua sampah yang terkumpul di tapak pelupusan sampah sepatutnya ditimbus. Namun sedikit sebanyak aktiviti landfill scavenging menyebabkan timbusan tanah tersebut diganggu dalam proses memcari bahan kitar semula. Apabila timbusan ini terganggu, maka pencemaran bau dari tapak pelupusan sampah tidak terkawal.


Landfil scavenger/recycler (sumber http://www.sciencephoto.com)

Oleh kerana ada sekurang-kurangnya 30-50% daripada sampah di Malaysia boleh dikitar semula, mengapa tidak kita sebagai individu mengambil satu tindakan kecil yang mampu memberi perubahan besar. Tindakan kecil yang saya maksudkan ialah pengasingan sampah dan kitar semula.

Setelah sebulan melakukannya secara konsisten, anda akan terkejut melihat berapa banyak botol, tin minuman dan kertas yang anda boleh dapat!

Bagaimana pengasingan sampah boleh dilakukan? Mudah sahaja, begini caranya:

1. Buang sisa makanan ke dalam satu plastik berasingan.
2. Sediakan tong kitar semula anda sendiri untuk empat bahan ini - Kertas, Tin/Kaca, Plastik. Saya guna tong cat lama yang di alas dengan plastik di bahagian dalamnya. Anda boleh guna baldi, kotak, bakul sampah atau beli tong kitar semula di kedai.
3. Pastikan tong kitar semula sentiasa kering dan bersih. Bersihkan dahulu sisa minuman bergula dari tin/botol, lap atau keringkan sebelum meletakkannya di tong kitar semula anda.
4. Letakkan tong kitar semula anda di tempat yang praktikal untuk anda.





Tong kitar semula anda mungkin dibeli khas, atau guna sahaja sebarang sumber sedia ada yang sesuai seperti tong cat terpakai, baldi retak atau kotak.(Sumber gambar mengikut turutan: green.thefuntimesguide.com , sarahhearts.com , blog.couponsherpa.com)

Jika tong kitar semula anda telah penuh, anda boleh buat salah satu dari perkara di bawah:
1. Hantar bahan kitar semula ke pusat kitar semula berhampiran. Bawa anak anda bersama dan libatkannya dalam urusan pengumpulan serta jual beli bahan kitar semula. Dia tentu seronok kerana dapat menambah wang tabungnya! Anda pula telah mendidiknya menghargai alam sekitar.

2. Hantar bahan kitar semula ke pusat kitar semula. Wang hasil kitar semula boleh didermakan kepada badan-badan kebajikan. Boleh juga letak wang di tabung kebajikan yang anda boleh jumpa di banyak kaunter kedai.

3. Serahkan bahan kitar semula tersebut kepada petugas sampah (garbage collector) apabila mereka datang untuk mengutip sampah di kawasan anda. Mereka juga recycler yang hebat.

Sesungguhnya amalan kitar semula adalah satu amalan mulia. Malah, di sesetengah tempat di mana kadar pengeluaran sampah adalah amat tinggi, saya boleh katakan wajib untuk setiap individu ambil tanggungjawab untuk kitar semula.

Jangan sesekali berputus asa melakukan apa yang betul untuk alam sekitar hanya kerana anda rasa anda seorang sahaja yang melakukannya. Anda mempunyai pengaruh yang kuat, dan tanpa anda sedari amalan mengasingkan dan kitar semula sampah ini akan dicontohi oleh mereka di sekeliling anda seperti keluarga dan kawasan kejiranan anda.

Kitar semula - kecil tapi signifikan!

Salam sayang penuh mesra alam,

RW

Rujukan:

[1] Fazlina Aziz, Managing waste lies at source, says expert. http://www.thestar.com.my/Story/?file=%2F2010%2F6%2F9%2Fcentral%2F6407166




Comments

Popular posts from this blog

Apabila pensyarah lambat muat naik nota kuliah

Jelajah Alam dengan Permainan Mencari Harta Karun

10 sebab untuk sambung PhD