Thursday, 3 September 2015

5 Toksik Utama Dalam Syampu

Teks: Rafeah Wahi

Bismillahirrahmanirrahim..

Lama sungguh saya tidak mencoret di blog. Kebetulan hari ini saya dapati syampu kanak-kanak yang baru dibeli minggu lepas sudah habis dibuat main oleh anak-anak semasa mandi, saya terpanggil untuk menulis entri kali ini.

Gambar ihsan google.

Pernah kah anda terfikir bahawa setiap hari, semasa anda dengan gembiranya mandi dan bersyampu anda sebenarnya menuangkan bahan kimia berbahaya ke kepala dan badan anda? Anda gosok-gosok, tenyeh-tenyeh kepala dengan syampu yang berbuih-buih mewah sehingga anda dapat rasa nikmatnya bersyampu.

Tanpa disedari, sekurang-kurangnya 5 bahan kimia berbahaya telah dilepaskan ke sistem saraf dan darah anda. Bahan-bahan kimia ini memberi kesan buruk kepada kesihatan, contohnya sistem pembiakan, penyebab kanser dan merosakkan sistem saraf.

Oleh itu, wajar anda perhatikan agar 5 bahan kimia berikut tidak ada dalam apa pun syampu pilihan anda:

1. Natrium Lauryl Sulfat (SLS) atau Natrium Laureth Sulfat (SLES).
2. Cocamide DEA atau Lauramide DEA
3. Propilen Glikol
4. Quaternium 15
5. Penderma Formaldehyde (contohnya Imidazolidinyl urea atau Diazolidinyl urea)

Insyaallah pada entri-entri yang akan datang saya akan kongsikan lebih lanjut berkenaan maklumat ini.


Salam sayang penuh mesra alam,

Rafeah



Wednesday, 2 September 2015

Panduan Pengasingan Sisa Pepejal di Sumber/Punca.



Artikel dan gambar-gambar ini berasal dari laman Facebook SWCorp Malaysia.

Penafian: Tujuan pemaparan semula artikel dan gambar-gambar ini di dalam blog ini adalah semata-mata untuk membantu mendidik masyarakat mengenai pengasingan sampah dari punca. Empunya blog ini tidak mempunyai sebarang kepentingan peribadi hasil dari pemaparan artikel dan gambar-gambar ini.

*************************************************************
Pengasingan sisa pepejal di sumber / punca. 

Apa yg nak diasingkan tu???
1) Sisa Baki
Sisa yang tidak boleh dikitar semula dan akan dilupuskan di pusat pelupusan. Ikat sisa dengan kemas kemudian letakkan kedalam tong sampah, kutipan akan dilakukan 2 kali semiggu.




2) Sisa Kertas
Sisa yang dihasilkan daripada kertas dan boleh dikitar semula. Perlu diasingkan, dimasukkan ke dalam bekas plastik dan diletakkan ditepi tong sampah, kutipan akan dilakukan sekali seminggu.



3) Sisa Plastik
Sisa yang dihasilkan daripada plastik dan boleh dikitar semula. Perlu diasingkan, dimasukkan ke dalam bekas plastik dan diletakkan ditepi tong sampah, kutipan akan dilakukan sekali seminggu.



4) Sisa Lain-lain
Sisa selain daripada sisa baki, kertas dan plastik. Perlu diasingkan, dimasukkan ke dalam bekas plastik, jika terlalu besar, letakkan dgn kemas ditepi tong sampah. kutipan akan dilakukan sekali seminggu.





Jom asingkan demi masa depan anak-anak kita!


Monday, 1 December 2014

Beg Percutian Macam Beg Pindah Rumah?

Teks: Rafeah Wahi


Musim cuti sekolah ini ramai yang balik kampung atau pergi makan angin dengan keluarga masing-masing. Indahnya amalan itu, selain merehatkan minda dan meluaskan pengalaman, sangat baik untuk merapatkan silaturrahim.

Beg balik kampung atau beg melancong anda seberat mana? Adakah macam nak pindah rumah atau bercuti setahun? Kalau boleh, biarlah seringan yang mungkin. Tahukah anda, berat berlebihan dalam but kereta atau kargo kapal terbang menyebabkan penggunaan bahan api berbanding biasa. Akibatnya, anda perlu tuang lebih bahan api berbanding jika tiada muatan berlebihan.

Kajian juga menunjukkan bahawa untuk setiap penambahan 45 kg beban kereta, ia mampu mengurangkan kecekapan bahan api sebanyak 2 peratus. Ya, 2 peratus mungkin kedengaran tidak banyak, namun kalau kita kira semula berapa jauh perjalanan sepanjang percutian itu, banyak bahan api yang sudah digunakan secara tidak cekap atau dengan kata mudahnya, membazir.

Penggunaan bahan api berlebihan, seperti mana yang kebanyakan orang tahu, menyumbang kepada pencemaran alam sekitar dan peningkatan gas rumah hijau. Peningkatan paras gas rumah hijau di atmosfera bumi menyebabkan pemanasan global dan perubahan cuaca dunia yang mendadak dan tidak menentu.

Ada beberapa tips mudah yang boleh diamalkan untuk menjadikan beg percutian anda lebih mesra alam:

1. Jika bepergian seminggu, tidak perlulah sediakan pakaian untuk seminggu. Memadai sekiranya ada bekalan pakaian untuk dua tiga hari. Setiap penghujung hari percutian, basuhlah terus pakaian kotor sahaja agar cukup pakaian.

2. Pilih kasut, baju dan seluar yang mempunyai warna satu tema, boleh disuaipadan dan sesuai untuk kebanyakan keadaan.

3. Jangan lupa membawa keperluan sunnah bepergian seperti berus gigi, sikat dan cermin kecil. Selain daripada itu, tidak perlu dirisaukan. Kalau ada tempat mandi, pasti ada sabun dan syampu :-)

4. Pilih pakaian dari fabrik yang ringan.

5. Jika anda bepergian dengan anak-anak kecil dan bayi, pastikan semua pakaian mereka dari fabrik yang serap peluh dan selesa. Pakaian bercorak dan berwarna gelap boleh dipakai lebih lama berbanding pakaian berwarna cerah sebab kurang potensi nampak comot.

6. Jika ada bayi, pilih untuk menggunakan penggendong bayi berbanding stroller. Ia lebih ringan dan jimat ruang.

7. Jangan lupa ubat demam, minyak angin dan "toiletries" bayi, semuanya dalam paket/botol kecil.



Mungkin ada lagi tips yang tidak tersenarai di sini, namun saya percaya jika tips-tips di atas diamalkan dalam gaya anda mengemas beg percutian, pasti percutian anda hebat dan mesra alam.


Sekian dulu, salam sayang penuh mesra alam dari saya.

Rafeah Wahi

Wednesday, 1 October 2014

Apa Falsafah Permainan Anda?

Teks: Rafeah Wahi



Apa falsafah permainan bagi anda? Adakah anda belikan permainan setiap kali anak meminta?

Kalau boleh, semua ibu bapa inginkan alat permainan yang terbaik untuk anak-anak mereka. Alat permainan yang selamat, menyeronokkan dan mendidik.

Mungkin wajar bagi kita semua memikirkan semula falsafah alat permainan. Ini kerana kanak-kanak tidak memerlukan terlalu banyak alat permainan untuk bergembira dan belajar. Sebaiknya pilihlah alat permainan yang berkualiti biarpun harganya sedikit mahal.

Janganlah pula setiap kali ke kedai kita belikan anak-anak alat permainan untuk membuat mereka diam dari rengekan dan amukan. Anak-anak itu amanah dari Tuhan, eloklah kita semaikan tabiat bermain yang baik dari kecil lagi.


Di antara tips mesra alam memilih alat permainan untuk anak-anak:

1. Pilih alat permainan yang diperbuat daripada bahan semulajadi, contohnya kayu (tanpa cat/kemasan bertoksik) dan fabrik organik seperti kain kapas dan wool.

Contoh blok kayu tanpa sebarang kemasan (kanan gambar) dan tanpa kemasan toksik (kiri gambar).


2. Cukup sekadar membeli sedikit sahaja alat permainan yang berkualiti dan mesra alam. Ia lebih selamat untuk bumi kita dan juga poket anda. Percayalah, anak lebih menghargai yang sedikit.

3. Setiap kali anda rasa anak anda memerlukan suatu alat permainan yang baru, fikir semula. Belek alat-alat permainan lama yang sedia ada dan fikirkna bagaimana ia boleh digunakan sebagai alat permainan yang lain tujuannya. Contohnya, sebiji bola mungkin boleh menjadi bola, atau planet, atau buah, atau boleh digunakan untuk mengenali warna dan bentuk, atau apa sahaja!

4. Belilah alat permainan yang tahan lama. Alat permainan yang berkualiti mungkin lebih mahal, tetapi mampu bertahan lama dan diwariskan dari anak sulung hingga anak bongsu, mahal ke generasi seterusnya.

5.  Baca label semasa membeli permainan. Ambil tahu bahan yang digunakan untuk membuat alat permainan tersebut, dan dari mana ia datang. Sesetengah negara pengeluar alat permainan mempunyai undang-undang yang longgar ke atas alat permainan. Negara-negara pengeluar alat permainan seperti Eropah, Kanada dan Jepun mempunyai undang-undang alat permainan yang lebih mesra alam dan selamat. Mungkin ada boleh mempertimbangkan pilihan ini.

6. Ada baiknya juga mengutamakan membeli alat permainan berkualiti dan mesra alam buatan Malaysia berbanding alat permainan import. Membeli barangan tempatan bermakna kita membantu mengurangkan pembesasan gas rumah hijau yang kita ketahui banyak dibebaskan semasa proses pengangkutan.

7. Pilih alat permainan yang bersifat terbuka (open-ended). Alat permainan seperti ini menggalakkan kreativiti dan imaginasi. Alat permainan terbuka juga berguna untuk pelbagai jenis situasi bermain. Contoh alat permainan terbuka ialah blok kayu, skaf berwarna warni, blok binaan, bola dan kotak.

Blok binaan bukan sahaja dapat digunakan untuk membina pelbagai objek, malah boleh juga digunakan untuk permainan mengenali warna (Gambar hiasan: Anak saya Hasan sedang sibuk mengkelaskan warna)


8. Elakkan membeli perhiasan dan kosmetik mainan yang murah. Permainan seperti ini mempunyai risiko yang tinggi untuk mengandungi plumbum. Kosmetik pula sudah tentu mengandungi banyak bahan kimia yang boleh dipersoalkan tahap keselamatannya untuk kanak-kanak.

9. Jika boleh, elakkan alat permainan plastik yang tidak berlabel. Umum mengetahui bahawa hampir mustahil untuk menghindarkan alat permainan plastik. Namun adalah baik sekiranya ibu bapa dapat mengambil berat berkenaan jenis plastik yang digunakan untuk membuat alat permainan plastik tersebut. Plastik yang selamat mempunyai label nombor 1, 2, 4 atau 5 di dalam anak panah berkejaran berbentuk segitiga (seperti dalam gambar). Sekiranya tiada label seperti ini, hubungi pengeluar alat permainan tersebut untuk kepastian.

Plastik yang selamat mempunyai label nombor 1, 2, 4 atau 5 di dalam anak panah berkejaran berbentuk segitiga


10. Sentiasa peka dengan notis penarikan balik alat permainan dari pasaran. Jangan ambil mudah berita seperti ini, kerana ia ada kaitan dengan keselamatan anak anda.

11. Gunakan apa sahaja alat permainan yang ada untuk bergembira dan meluangkan masa berkualiti bersama anak-anak. Apa yang penting bukan berapa banyak alat permainan yang anda ada, tetapi apa yang anda lakukan menggunakan alat permainan yang ada.


Selamat bermain!

Salam sayang penuh mesra alam,

Rafeah Wahi


Nota: Tips di atas dipetik, diterjemahkan dan diolah semula dari http://healthychild.org/easy-steps/12-tips-for-choosing-safe-eco-friendly-toys/



Thursday, 28 August 2014

Pesan Makanan Secukupnya Sahaja

Teks: Rafeah Wahi




Siapa yang suka makan di luar? Ramai dari kalangan kita sering makan di luar, sama ada kerana tuntutan kerja, kekangan masa atau sekali-sekala berkumpul makan bersama keluarga atau rakan-rakan. Namun demikian, saya sering perhatikan makanan yang dipesan tidak habis dan bakinya dibiarkan sahaja, tidak dibawa pulang.

Statistik menunjukkan bahawa lebih kurang separuh daripada sampah sarap yang dihasilkan di Malaysia berasal dari sisa makanan. Sisa organik seperti sisa makanan yang dibuang ke pusat pelupusan sampah menimbulkan bau busuk dan mengundang kedatangan serangga dan haiwan tertentu. Sisa organik juga meningkatkan penghasilan air larut lesap (leachate) yang menjadi punca pencemaran air dan tanah. Saya rasa sudah tiba masanya kita melakukan sesuatu yang mudah dilakukan oleh sesiapapun, tetapi memberi impak yang amat signifikan - Pesan makanan secukupnya sahaja.

Amalkan berkongsi makanan untuk anak kecil di bawah 6 tahun kerana mereka tidak makan banyak. Contohnya boleh pilih menu yang disepakati anak-anak dan minta 3 pinggan kosong agar makanan tersebut dapat dibahagikan sesama mereka. Jika mereka ingin tambah, barulah tambahkan lagi. Sekurang-kurangnya tiada pembaziran berlaku.

Anda boleh juga pesan 1 menu yang sama dalam untuk sekeluarga berkongsi. Contohnya, saya masih ingat ketika saya masih kecil, ayah akan memesan mi goreng RM5, dan dia meminta tuan kedai untuk meletakkan mi goreng tersebut dalam mangkuk besar. Dia juga meminta beberapa pinggan kecil. Jadi kami sekeluarga berkongsi bahagia makan mi goreng RM5. Mi goreng dikongsi penuh berkat, habis namun mengenyangkan. Bayangkan kenangan ini saya ingat walaupun telah lebih 30 tahun berlalu, maknanya kenangan seperti inilah kenangan terindah yang akan anak-anak anda kenang nanti kan?

Berhati-hati juga makan secara buffet. Walaupun anda boleh makan sebanyak mana yang anda mahu, ini tidak bermakna anda harus mengisikan pinggan anda sepenuhnya namun kemudian membazirkannya. Ingat, orang-orang yang membazir itu saudara syaitan. Walaupun anda membayar untuk hadir buffet itu, hormatilah makanan dan ambil makanan dalam jumlah yang anda benar-benar sanggup makan sahaja.

Itu hanya sebahagian contoh mudah. Banyak lagi cara anda mengurangkan pembaziran makanan. Paling penting, jangan pesan makanan sekiranya belum benar-benar lapar. Jika perlu, bawa bersama bekas makanan anda sendiri untuk anda bawa pulang bahagian makanan yang tidak habis, untuk anda makan di rumah nanti.

Saya selalu juga bawa pulang makanan yang tidak habis ke rumah. Petuanya, asingkan dahulu awal-awal bahagian yang hendak dimakan, jika kurang barulah tambah lagi. Itulah gunanya peti sejuk. Anda simpan makanan lebih di situ dan panaskannya esok hari untuk di makan :-)

Salam sayang penuh mesra alam,

RW

Tuesday, 19 August 2014

Warisan Stokin Koyak

Teks: Rafeah Wahi

Cerita ini dipetik dari laman FB seorang sahabat. Namun nama pengarang tidak dinyatakan. Saya kongsikan untuk manfaat kita semua. Semoga penulis cerita ini mendapat pahala dan keberkatan. Amin..

Warisan Stokin Koyak

Al-Kisah seorang kaya raya (millionaire), sedang sakit parah..menjelang ajal menjemput dikumpulkanlah anak-anak tercintanya...Beliau berwasiat: Anak-anakku...jika ayah sudah dipanggil yang Maha Kuasa, ada permintaan ayah kepada kalian "tolong di pakaikan stokin kesayangan ayah, walaupun stokin itu sudah koyak, ayah ingin pakai barang kesayangan semasa bekerja di ofis ayah dan minta kenangan stokin itu dipakai bila ayah dikubur nanti. Singkat cerita Akhirnya sang Ayah meninggal dunia. Saat mengurus Jenazah dan saat mengkafani, anak2nya minta ke pak imam untuk memakaikan stokin yg koyak itu sesuai wasiat ayahnya. Akan tetapi pak imam menolaknya: "maaf secara syariat hanya 2 lembar kain putih saja yang di perbolehkan dipakaikan kepada mayat..".
Terjadi diskusi panas antara anak2 yg ingin memakaikan stokin koyak dan pak imam yg juga ustad yg melarangnya. Kerana tidak ada titik temu dipanggilah penasihat keluarga sekaligus peguam. Beliau menyampaikan: "sebelum meninggal bapak menitipkan surat wasiat, ayah kita buka ber-sama2 siapa tahu ada petunjuk.." Maka dibukalah surat wasiat alm millionaire buat anak2nya yg di pesankan kepada peguam tersebut. Ini bunyinya: Anak-anakku pasti sekarang kalian sedang bingung, kerana dilarang memakaikan stokin koyak kepada mayat ayah...lihatlah anak2ku padahal harta ayah banyak, wang berlimpah, beberapa kereta mewah, tanah dan sawah di-mana2, rumah mewah banyak..tetapi tidak ada artinya ketika ayah sudah mati. Bahkan stokin koyak saja tidak boleh dibawa mati. Begitu tidak berartinya dunia, kecuali amal ibadah kita, sedekah kita yg ikhlas. Anak2ku inilah yg ingin ayah sampaikan agar kalian tidak tertipu dgn dunia yg sementara. Salam sayang dari Ayah yang ingin kalian menjadikan dunia sebagai jalan menuju Allah.... 

Semoga mengingatkan kita...

Salam sayang,
Rafeah Wahi

Monday, 18 August 2014

10 sebab untuk sambung PhD

Teks: Rafeah Wahi


Kebelakangan ini ramai yang mengambil keputusan untuk menyambung pelajaran ke peringkat sarjana (Masters) selepas menamatkan ijazah pertama. Tiada masalah. Ramai yang berjaya menamatkan pelajaran di peirngkat Masters juga.

Namun demikian, apabila ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat PhD, ramai yang menjadi keliru. Mulalah pelbagai persoalan bermain-main di fikiran. Contohnya:

"Bagus juga kalau sambung PhD. Tapi sudah tidak larat untuk menghadapi dunia menuntut ilmu dan penyelidikan. Sedangkan nak menamatkan pelajaran di peringkat Masters sahaja sudah nyawa-nyawa ikan. Mungkin kalau ambil PhD terus mati agaknya".

"Bagus juga sambung PhD, tapi ingin nak merasai pengalaman bekerja. Kawan-kawan semua sudah bekerja tetap. Ada pendapatan tetap. Ada kereta. Ada rumah (ada ke?). Bila saudara-mara bertanya 'kerja apa?' sekurang-kurangnya tak lenguh nak menjawab jika dipertikaikan sudah besar panjang masih belajar lagi."

"Bagus juga sambung PhD. Tapi apa selepas PhD? Terjaminkah dapat kerja atau terkontang-kanting mencari kerja selepas tamat PhD?"

"Bagus juga sambung PhD. Tapi apa gunanya PhD tu?".

Sebagai seorang yang berkecimpung dalam dunia akademik boleh saya katakan bahawa pada tahun ini sebenarnya jika tiada keperluan kewangan yang terlalu mendesak, sambunglah PhD.

10 sebab yang saya boleh berikan untuk sambung PhD:

1. Buat masa ini terlalu banyak peluang biasiswa/sumber kewangan untuk belajar PhD di Malaysia. Beberapa sumber tersebut termasuklah MyBrain15, SLAB/SLAI dan pelbagai biasiswa lain (maklumat boleh didapati di laman web KPM), peluang sebagai pembantu penyelidik dan pembantu penyelidik graduan, dan lain-lain. Duit poket sebulan boleh saya katakan sama banyak dengan gaji ijazah - bebas cukai. Jika pandai mengurus kewangan, anda juga boleh memiliki kereta atau rumah!

2. Tiada pelaburan yang sebaik pelaburan ke arah peningkatan ilmu. Laburkanlah wang ke sana sini, tapi jika kau laburkan untuk ilmu, tiada siapa yang dapat merampas ilmu darimu. Malah, ada sepotong hadis yang berbunyi "Siapa yang menempuh suatu jalan kerana menuntut ilmu, Allah akan permudahkan baginya jalan ke syurga" HR Muslim

3. Jika anda telah melalui dunia pengajian Masters, anda pasti faham berkenaan sifat ingin tahu. PhD salah satu cara memuaskan sifat ingin tahu anda terhadap sesuatu cabang ilmu dan persoalan yang belum terjawab. Kadang-kadang berlaku sesuatu yang tak terduga dalam kajian anda, dan pada masa ini lah kuasa kreativiti anda akan diuji! Menarik bukan? 

4. PhD lebih mudah sekiranya semasa buat Masters anda sudah puas susah. Percayalah! Apa yang penting, ketahui teknik dan keperluan bergraduat PhD, insyaallah pasti boleh lulus.

5. Peluang kerja untuk graduan PhD amat luas di Malaysia. IPTA dan IPTS sangat mengalu-alukan kedatangan seorang graduan PhD sama ada untuk tugas akademik mahupun penyelidikan. Siapa kata anda mesti menjadi pensyarah jika ada PhD? Anda boleh saja bekerja di industri, bekerja bersama dengan industri, dan jika masih mahu 'enjoy' dengan penyelidikan boleh menjadi pegawai penyelidik. Tetapi yang terbaik, anda boleh mula perniagaan anda sendiri dengan ilmu yang ada. Semua orang suka apabila orang berilmu yang bijaksana berkata-kata. Anda faham maksud saya? Selepas mendapat PhD nilai 'per jam' anda bertambah. Keluar air liur sahaja untuk memberi perundingan tentang sesuatu yang anda memang sudah tahu, anda dibayar dengan lumayan.

6. PhD akan mengubah diri anda menjadi orang baru, seolah-olah kulit lama anda disalin dengan kulit baru yang lebih baik dan cantik. Jika anda rasa anda penuh dengan sifat negatif dan tidak berkeyakinan, saya sarankan PhD.sebagai 'life-changing experience' yang bakal mengubah diri anda!

7. Anda boleh pilih untuk pakai apa sahaja yang anda suka dan selesa sepanjang buat PhD. Kalau bekerja mungkin setiap hari kena pakai formal. 

8. Anda masih boleh dapat pelbagai keistimewaan sebagai pelajar. Anda berhak untuk diskaun khas pelajar di kebanyakan tempat - kedai buku, restoran, tiket kenderaan, baucer, gimnasium dan banyak lagi. Tunjukkan saja kad pelajar anda. Saya tahu sebab saya dah cuba.

9. Peluang jalan-jalan percuma. Kalau anda bagus, ada sahaja peluang membentangkan kertas kerja di persidangan-persidangan tempatan dan antarabangsa. Ini peluang untuk menambah ilmu dan jaringan kenalan, serta jalan-jalan percuma.

10. Cuti bila-bila yang anda mahu. Semasa buat PhD, anda uruskan cuti anda sendiri. Cepat kerja siap, cepat boleh cuti. Sebelum balik bercuti boleh 'impress' penyelia anda dahulu dengan kerja anda yang melangkaui jadual. Selepas itu tentu dilepaskan bercuti, percayalah!

Setakat ini Malaysia masih kekurangan graduan PhD dan kerajaan menyediakan pelbagai kemudahan dan insentif untuk mereka yang ingin melanjutkan pelajaran ke tahap PhD.

Kesimpulannya, kalau tiada keperluan mendesak dan keputusan akademik anda mengizinkan, sambunglah PhD. Memang pengalaman yang menakjubkan. Tentang pekerjaan, usahlah dirisaukan. Rezeki di tangan Tuhan. Kalau anda tidak sambung PhD pun, sama juga - rezeki di tangan Tuhan.

Sekian dulu, salam sayang dari saya.

Rafeah Wahi



Kenangan bersama rakan sepasukan semasa UNIMAS R&D Expo2014  baru-baru ini.


Gambar terbaru semasa makan-makan dengan kawan-kawan seperjuangan di MKO dan 'co-supervisor' yang sangat 'awesome'!