Air oh Air

Teks: Rafeah Wahi

Bismillahirrahmanirrahim

Kalau kita perhatikan, pada masa sekarang ada pelbagai jenis air di pasaran. Malah perdebatan berkenaan yang mana satu dari semua jenis air tersebut adalah lebih baik untuk kesihatan, juga tidak berkesudahan. Masing-masing pihak berkepentingan mengakui bahawa air mereka adalah yang terbaik. Di antara contoh air yang sering diminum oleh masyarakat bandar ialah air paip, air mineral semulajadi, air reverse-osmosis (RO), air beralkali, dan air minuman bertapis.



Air paip
Air paip sebenarnya cukup selamat untuk diminum kerana telah melalui proses pembuangan bahan cemar dan nyahkuman di loji rawatan air. Namun demikian, ada beberapa isu yang sering dikaitkan dengan air paip. Contohnya, warna air paip yang berubah kekuningan apabila sampai kepada pengguna akibat sistem perpaipan lama, penggunaan klorin dalam proses nyah kuman air dikatakan mengundang risiko kesihatan jangka panjang serta keperluan memasak air paip sebelum diminum untuk mengurangkan risiko penyakit bawaan air.

Air mineral
Air mineral semulajadi adalah yang terbaik jika sumber air mineral tersebut bebas dari sebarang pencemaran. Namun demikian, kebanyakan pembungkusan air mineral kebanyakannya menggunakan plastik dan kurang mesra alam sekitar. Walaupun sebahagian botol-botol plastik ini dapat dikitar semula, namun jelas sekali pengeluaran besar-besaran air mineral berbotol menambah lagi masalah penimbunan sampah sarap. Proses pembungkusan juga menambahkan kos pada setiap botol air mineral.

Air reverse-osmosis (RO)
Air reverse-osmosis pula merupakan air kosong yang bersih dari sebarang pencemaran, namun langsung tidak mempunyai sebarang mineral di dalamnya. Pendek kata, ia tidak mengandungi sebarang khasiat kecuali menghilangkan dahaga. Air RO sering dijual dengan murah dan senang didapati sama ada melalui air RO botol, sistem RO yang dipasang di rumah mahupun mesin jualan air RO.

Air minuman bertapis
Air minuman bertapis adalah air yang telah ditapis segala bahan cemar di dalamnya melalui sistem penurasan, rawatan UV dan sebagainya sebelum ditambahkan mineral-mineral penting seperti di kebanyakan rumah.

Air beralkali
Air beralkali juga popular beberapa tahun kebelakangan ini, memandangkan terdapat beberapa kajian yang mendapati bahawa air beralkali mampu menambah baik kesihatan tubuh dan meneutralkan keadaan tubuh yang berasid.Selain terdapat air beralkali botol, sistem air tapisan beralkali juga boleh dipasang di rumah-rumah persendirian.

Walau apapun pilihan anda, pastikan anda memahami kesannya terhadap alam sekitar dan kesihatan anda.


Salam sayang penuh mesra alam,

RW



Comments

Popular posts from this blog

Apabila pensyarah lambat muat naik nota kuliah

Jelajah Alam dengan Permainan Mencari Harta Karun

10 sebab untuk sambung PhD