Penyusuan Ibu Gaya Hidup Mesra Alam

Teks: Rafeah Wahi

Tahukah anda bahawa anda tidak perlu pening-pening memilih jenama susu yang terbaik untuk bayi anda yang berumur di bawah 2 tahun? Ini kerana susu terbaik di dunia adalah susu ibu. Tahukah anda satu lagi perkara; iaitu penyusuan susu ibu bukan sahaja baik untuk kesihatan bayi dan ibu, malah merupakan suatu amalan mesra alam? 


Kenangan menggendong Hasan dengan kain batik dan menyusukannya di tempat awam (tahun 2011)

Pada entri kali ini, saya ingin berkongsi berkenaan manfaat penyusuan susu ibu terhadap kesihatan ibu dan anak, dan manfaatnya terhadap alam sekitar. 

Manfaat susu ibu terhadap bayi [1]:


  • Susu ibu mengandungi segala nutrien penting untuk bayi pada kadar yang mencukupi.
  • Kandungannya berubah mengikut keperluan bayi yang sedang membesar (Maha Suci Allah!)
  • Susu ibu terutaman kolostrum, menguatkan sistem imuniti badan bayi. Ia mampu menghindari bayi dari cirit birit, selsema, bronkitis dan radang paru-paru.
  • Susu ibu mampu mencegah alahan seperti ekzema, asma dan kolik bayi
  • Dalam jangka masa panjang, susu ibu baik untuk kecerdasan minda anak.
  • Ia tidak mudah tercemar berbanding susu formula.
  • Penyusuan susu ibu memberikan rasa selamat dan selesa kepada bayi.
  • Penyusuan susu ibu memberi ruang untuk ibu dan bayi berinteraksi dan mengeratkan hubungan kasih sayang.


Manfaat susu ibu terhadap ibu [1]:


  • Membantu mengecutkan rahim dan mengembalikannya kepada saiz yang asal dengan cepat serta mengurangkan pendarahan selepas bersalin.
  • Membakar kalori dan mengembalikan bentuk badan asal anda dengan cepat.
  • Mengurangkan risiko kanser payudara dan kanser ovari.
  • Menjarakkan kelahiran jika mengamalkan penyusuan ibu secara sepenuhnya.

Manfaat susu ibu terhadap ekonomi:


  • Susu ibu adalah percuma. Kuantiti pengeluaran susu banyak bergantung kepada permintaan bayi. Semakin kerap bayi disusukan, semakin banyak kuantiti susu dihasilkan oleh tubuh ibu.
  • Susu ibu mengandungi khasiat terbaik untuk imuniti badan bayi. Hal ini mampu membantu mengurangkan kos perubatan.
  • Penyusuan susu ibu membantu menjimatkan kos bahan api (petrol/diesel/gas). Ini kerana sumbernya sentiasa ada dan anda tidak perlu berulang alik ke kedai dengan kenderaan hanya kerana terlupa membeli susu formula.


Manfaat susu ibu terhadap alam sekitar [2], [3]:


  • Susu ibu adalah sumber yang boleh diperbaharui (renewable resource).
  • Penyusuan ibu menjimatkan lebih tenaga. Ini kerana bayi boleh mendapatkan terus dari payudara ibu pada suhu yang sesuai tanpa perlu dibancuh menggunakan air panas, atau dipanaskan (kecuali jika bayi menyusu susu ibu perahan),
  • Penyusuan susu ibu juga membantu mengurangkan penggunaan tenaga bagi pengeluaran susu formula dan botol susu.
  • Penyusuan ibu mengurangkan sampah, tidak seperti susu formula yang meninggalkan sisa pembungkusan seperti aksesori botol susu, plastik, kertas dan tin.
  • Proses pembuatan botol susu melibatkan penggunaan plastik, getah, silikon dan kaca yang amat banyak.
  • Penyusuan susu ibu membantu menjimatkan bahan api (petrol/diesel/gas). Ini kerana sumbernya sentiasa ada dan anda tidak perlu berulang alik ke kedai dengan kenderaan hanya kerana terlupa membeli susu formula.
  • Penyusuan susu ibu mengurangkan pendedahan bayi kepada bahan kimia (sama ada dari botol susu yang tidak mesra alam atau susu formula, jika ada).

Selain itu, anda juga jangan terkejut jika saya katakan bahawa susu formula merupakan salah satu penyumbang tidak langsung kepada pemanasan global dan ketidaktentuan cuaca dunia. Kenapa? Hal ini kerana sebahagian besar susu formula dihasilkan dari susu lembu, dan penternakan lembu secara meluas di seluruh dunia diperlukan untuk memenuhi permintaan susu lembu. Sedangkan, penternakan lembu mengakibatkan lebih banyak hutan diratakan dan proses respirasi serta najis lembu menghasilkan gas rumah hijau [4] yang mengakibatkan kesan rumah hijau atau pemanasan global.

Semoga sedikit perkongsian ini dapat membantu kita semua membuat pilihan yang terbaik dalam penyusuan bayi kita, mahupun untuk alam sekitar yang bakal anak cucu kita diami nanti.

Salam sayang penuh mesra alam.

RW


Rujukan:
[1] Kebaikan Susu Ibu. http://www.myhealth.gov.my/index.php/pemakanan/penyusuan-susu-ibu/kebaikan-susu-ibu

[2] 6 green reasons why breastfeeding is the best feeding. http://www.mnn.com/family/family-activities/stories/6-green-reasons-why-breastfeeding-is-the-best-feeding


[3] Robin Neorr. How Breastfeeding Benefits Our Environment. http://voices.yahoo.com/how-breastfeeding-benefits-our-environment-467351.html?cat=25


[4] L. E. Chase. How much gas do cows produce? http://www.ansci.cornell.edu/cnconf/2010proceedings/CNC2010.20.Chase.pdf


Comments

Popular posts from this blog

Apabila pensyarah lambat muat naik nota kuliah

Jelajah Alam dengan Permainan Mencari Harta Karun

10 sebab untuk sambung PhD