Peti Harta Karun Dari Kotak

Teks: Rafeah Wahi

Pada suatu hari dalam tahun 2013, anak sulung yang saya kasihi, Musa meminta sebuah peti harta karun. Saya rasa mungkin kerana dia sudah beberapa kali 'terserempak' dengan cerita/animasi lanun dan harta karun di TV. Saya tanya kawan-kawan saya di mana agaknya boleh dapat peti harta karun - semuanya tak pasti. Saya cuba ke beberapa kedai di sekitar Kuching untuk mencarinya tapi pada masa itu tidak ketemu.

Akhirnya saya membuat carian di internet "DIY treasure chest" dan Alhamdulillah menemui beberapa laman web yang menunjukkan cara-cara membuat peti harta karun sendiri. Setelah saya gabungkan idea dan sesuaikan dengan apa yang termampu saya dapat, saya jemput Musa lebih awal dari tadikanya petang itu. Adik-adiknya saya akan jemput pada pukul 5pm nanti agar saya dan Musa punya sedikit masa (lebih kurang 1 jam) untuk menyiapkan peti harta karun itu nanti. 

Saya membawa Musa mencari kotak terpakai di kedai runcit berdekatan tadikanya. Alhamdulillah rezeki Musa kami bertemu kotak air mineral Spritzer berukuran lebih kurang 41 cm panjang x 21 cm lebar x 40 cm tinggi yang sangat sesuai dan tidak memerlukan terlalu banyak modifikasi. Tauke kedai kata kami boleh ambil percuma, syukur...Semoga murah rezeki Tauke. Kemudian kami ke kedai alat tulis untuk membeli kertas warna. Gam, gunting, pita selofan, dan pen marker dwi warna sudah ada di rumah.

Sampai sahaja di rumah kami mulakan proses membuatnya berdua. Sengaja saya libatkan Musa sekali agar dia merasa lebih teruja dan sayang terhadap peti tersebut. Senang sangat membuatnya, alhamdulillah. Langkah-langkah membuatnya seperti berikut:

  1. Potong kotak tersebut sehingga tingginya tinggal 21cm. Bahagian bawah kotak adalah peti harta karun kita.
  2. Guna bahagian atas kotak untuk membuat penutup peti. Ukur dahulu sebelum potong agar sesuai dengan bahagian bawah kotak.
  3. Sambungkan peti dengan penutup peti menggunakan pita selofan.
  4. Potong lebihan kotak untuk membuat selak atau 'kunci' peti harta karun. Jangan lekat dahulu ya. (lihat contoh di peti harta karun Musa - warna putih).
  5. Balut kotak dengan kertas warna coklat (warna biasa peti harta karun) dan hiaskan dengan jalur keemasan untuk tampak lebih hebat. Saya tak jumpa kertas warna keemasan jadi saya guna warna kuning.
  6. Guna pen marker untuk menghias peti harta karun (nampak bintik-bintik pada jalur kuning tu?)
  7. Lekatkan selak atau 'kunci' peti di penutup peti harta karun secara menegak menggunakan pita selofan.
  8. Lekatkan hanya hujung selak peti menggunakan pita selofan agar kunci boleh masuk ke bahagian tengah selak bila ditutup.
Walaupun tidak sempat merakamkan gambar-gambar semasa sesi pembuatan peti harta karun itu, saya kongsikan di sini beberapa gambar peti harta karun yang sudah siap. 







Cukup mudah untuk menggembirakan anak. Tak semestinya dengan sesuatu yang dibeli ready-made. Kotak kitar semula pun sudah cukup, malahan lebih mesra alam. Cubalah!

Nota: Sehingga tarikh entri ini ditulis, kotak harta karun ini masih ada dan masih menjadi kesayangan Musa.

Salam sayang dari saya.

RW

Comments

Popular posts from this blog

Apabila pensyarah lambat muat naik nota kuliah

Jelajah Alam dengan Permainan Mencari Harta Karun

10 sebab untuk sambung PhD