5 Tahun Asuhan Mesra Alam dengan Lampin Moden

Teks: Rafeah Wahi

Belek-belek semula entri FB yang lama, saya terjumpa entri yang satu ini. Mula-mula sekali saya memohon ampun pada Allah sekiranya perkongsian ini menyinggung perasaan sesiapa atau mempunyai unsur riak. Tiada niat seperti itu, cuma betul-betul tersemat di dalam hati ini untuk menyeru lebih ramai rakyat Malaysia sama-sama melakukan apa yang termampu untuk alam sekitar.

Semasa entri tersebut ditulis, rakyat Malaysia baru sahaja sentap dengan kenaikan harga minyak RON95. Entri tersebut berbunyi begini:

" Semoga kita semua bangun dengan tenang hari ini..saya terfikir untuk snap bakul nursery anak2.Dah 5 tahun cloth diapering hanya 2, 3 helai yg rosak sikit.yg lain masih OK sangat-sangat dan 3 anak guna silih ganti. Sebulan masih jimat RM100 walaupun memang ada juga guna disposable diapers. Tak malu tak segan walaupun ada juga yg kata weird gaji ribu-ribu tapi kedekut haha. Siapa-siapa yang rasa beban dengan kenaikan harga segala-gala benda mula lah hijrah ke gaya hidup yg lebih mesra alam dan jimat. #ron95naikharga"



Screen shot entri FB yang saya maksudkan tadi.


Anak saya yang sulung sudah pun 6 tahun, maknanya sudah 5 tahun berlalu dari hari pertama kami sekeluarga memakaikan anak-anak lampin moden (CD). Ramai yang mempunyai persepsi bahawa pengendaliannya amat leceh. Sebenarnya itu suatu tanggapan yang salah. Kalau tidak, mana mungkin ribuan keluarga di Malaysia dan jutaan keluarga di seluruh dunia masih bertahan menggunakannya.

Saya berpendapat kunci kepada kejayaan pemakaian CD adalah seperti berikut:

  • Kesepakatan di antara semua ahli keluarga berkenaan penggunaan CD - Kami suami isteri serta ibu saya berbincang dahulu beberapa bulan sebelum membeli dan menggunakan CD. Apabila semua pihak sudah faham akan sebab dan manfaat penggunaan CD, kita mampu konsisten menggunakannya.
  • Keperluan mengawal perbelanjaan keluarga - Sebagai sebuah keluarga baru, kami merasakan memang ada keperluan untuk kami merancang sebaiknya perbelanjaan keluarga. Ini memandangkan kos sara hidup yang semakin meningkat, dan kos asuhan anak serta tabungan masa depan yang perlu juga diambil kira. Ini merupakan pemangkin kami untuk terus konsisten dalam menggunakan CD.
  • Sentiasa sematkan dalam minda berapa banyak sampah sukar lupus yang kita 'sumbangkan' kepada alam sekitar sepanjang 3 tahun dengan penggunaan lampin pakai buang.
  • Wujudnya rasa berbaloi - Wang lampin yang dijimatkan setiap bulan itu hendaklah digunakan untuk sesuatu yang tampak agar secara psikologi nya kita rasa berbaloi menggunakan CD. Kami sekeluarga menggunakan wang lampin untuk mencarum Takaful pelan pendidikan anak-anak.


Kini anak kami yang ketiga pun sudah hampir selesai latihan ke tandas. Saya mula membahagi-bahagikan sedikit lampin moden kesayangan kami kepada keluarga yang berminat dan memerlukannya. Alhamdulillah, semoga sedikit usaha ini diberkati Allah dan lebih ramai keluarga di Malaysia memilih untuk menggunakan CD berbanding lampin pakai buang.

CD kesayangan hanya dihadiahkan kepada yang benar-benar mahu ber-CD


Setakat ini dahulu buat kali ini. Salam sayang dari saya.

RW


Comments

Popular posts from this blog

Apabila pensyarah lambat muat naik nota kuliah

Jelajah Alam dengan Permainan Mencari Harta Karun

10 sebab untuk sambung PhD