Pages

Monday, 18 August 2014

10 sebab untuk sambung PhD

Teks: Rafeah Wahi


Kebelakangan ini ramai yang mengambil keputusan untuk menyambung pelajaran ke peringkat sarjana (Masters) selepas menamatkan ijazah pertama. Tiada masalah. Ramai yang berjaya menamatkan pelajaran di peirngkat Masters juga.

Namun demikian, apabila ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat PhD, ramai yang menjadi keliru. Mulalah pelbagai persoalan bermain-main di fikiran. Contohnya:

"Bagus juga kalau sambung PhD. Tapi sudah tidak larat untuk menghadapi dunia menuntut ilmu dan penyelidikan. Sedangkan nak menamatkan pelajaran di peringkat Masters sahaja sudah nyawa-nyawa ikan. Mungkin kalau ambil PhD terus mati agaknya".

"Bagus juga sambung PhD, tapi ingin nak merasai pengalaman bekerja. Kawan-kawan semua sudah bekerja tetap. Ada pendapatan tetap. Ada kereta. Ada rumah (ada ke?). Bila saudara-mara bertanya 'kerja apa?' sekurang-kurangnya tak lenguh nak menjawab jika dipertikaikan sudah besar panjang masih belajar lagi."

"Bagus juga sambung PhD. Tapi apa selepas PhD? Terjaminkah dapat kerja atau terkontang-kanting mencari kerja selepas tamat PhD?"

"Bagus juga sambung PhD. Tapi apa gunanya PhD tu?".

Sebagai seorang yang berkecimpung dalam dunia akademik boleh saya katakan bahawa pada tahun ini sebenarnya jika tiada keperluan kewangan yang terlalu mendesak, sambunglah PhD.

10 sebab yang saya boleh berikan untuk sambung PhD:

1. Buat masa ini terlalu banyak peluang biasiswa/sumber kewangan untuk belajar PhD di Malaysia. Beberapa sumber tersebut termasuklah MyBrain15, SLAB/SLAI dan pelbagai biasiswa lain (maklumat boleh didapati di laman web KPM), peluang sebagai pembantu penyelidik dan pembantu penyelidik graduan, dan lain-lain. Duit poket sebulan boleh saya katakan sama banyak dengan gaji ijazah - bebas cukai. Jika pandai mengurus kewangan, anda juga boleh memiliki kereta atau rumah!

2. Tiada pelaburan yang sebaik pelaburan ke arah peningkatan ilmu. Laburkanlah wang ke sana sini, tapi jika kau laburkan untuk ilmu, tiada siapa yang dapat merampas ilmu darimu. Malah, ada sepotong hadis yang berbunyi "Siapa yang menempuh suatu jalan kerana menuntut ilmu, Allah akan permudahkan baginya jalan ke syurga" HR Muslim

3. Jika anda telah melalui dunia pengajian Masters, anda pasti faham berkenaan sifat ingin tahu. PhD salah satu cara memuaskan sifat ingin tahu anda terhadap sesuatu cabang ilmu dan persoalan yang belum terjawab. Kadang-kadang berlaku sesuatu yang tak terduga dalam kajian anda, dan pada masa ini lah kuasa kreativiti anda akan diuji! Menarik bukan? 

4. PhD lebih mudah sekiranya semasa buat Masters anda sudah puas susah. Percayalah! Apa yang penting, ketahui teknik dan keperluan bergraduat PhD, insyaallah pasti boleh lulus.

5. Peluang kerja untuk graduan PhD amat luas di Malaysia. IPTA dan IPTS sangat mengalu-alukan kedatangan seorang graduan PhD sama ada untuk tugas akademik mahupun penyelidikan. Siapa kata anda mesti menjadi pensyarah jika ada PhD? Anda boleh saja bekerja di industri, bekerja bersama dengan industri, dan jika masih mahu 'enjoy' dengan penyelidikan boleh menjadi pegawai penyelidik. Tetapi yang terbaik, anda boleh mula perniagaan anda sendiri dengan ilmu yang ada. Semua orang suka apabila orang berilmu yang bijaksana berkata-kata. Anda faham maksud saya? Selepas mendapat PhD nilai 'per jam' anda bertambah. Keluar air liur sahaja untuk memberi perundingan tentang sesuatu yang anda memang sudah tahu, anda dibayar dengan lumayan.

6. PhD akan mengubah diri anda menjadi orang baru, seolah-olah kulit lama anda disalin dengan kulit baru yang lebih baik dan cantik. Jika anda rasa anda penuh dengan sifat negatif dan tidak berkeyakinan, saya sarankan PhD.sebagai 'life-changing experience' yang bakal mengubah diri anda!

7. Anda boleh pilih untuk pakai apa sahaja yang anda suka dan selesa sepanjang buat PhD. Kalau bekerja mungkin setiap hari kena pakai formal. 

8. Anda masih boleh dapat pelbagai keistimewaan sebagai pelajar. Anda berhak untuk diskaun khas pelajar di kebanyakan tempat - kedai buku, restoran, tiket kenderaan, baucer, gimnasium dan banyak lagi. Tunjukkan saja kad pelajar anda. Saya tahu sebab saya dah cuba.

9. Peluang jalan-jalan percuma. Kalau anda bagus, ada sahaja peluang membentangkan kertas kerja di persidangan-persidangan tempatan dan antarabangsa. Ini peluang untuk menambah ilmu dan jaringan kenalan, serta jalan-jalan percuma.

10. Cuti bila-bila yang anda mahu. Semasa buat PhD, anda uruskan cuti anda sendiri. Cepat kerja siap, cepat boleh cuti. Sebelum balik bercuti boleh 'impress' penyelia anda dahulu dengan kerja anda yang melangkaui jadual. Selepas itu tentu dilepaskan bercuti, percayalah!

Setakat ini Malaysia masih kekurangan graduan PhD dan kerajaan menyediakan pelbagai kemudahan dan insentif untuk mereka yang ingin melanjutkan pelajaran ke tahap PhD.

Kesimpulannya, kalau tiada keperluan mendesak dan keputusan akademik anda mengizinkan, sambunglah PhD. Memang pengalaman yang menakjubkan. Tentang pekerjaan, usahlah dirisaukan. Rezeki di tangan Tuhan. Kalau anda tidak sambung PhD pun, sama juga - rezeki di tangan Tuhan.

Sekian dulu, salam sayang dari saya.

Rafeah Wahi



Kenangan bersama rakan sepasukan semasa UNIMAS R&D Expo2014  baru-baru ini.


Gambar terbaru semasa makan-makan dengan kawan-kawan seperjuangan di MKO dan 'co-supervisor' yang sangat 'awesome'!

2 comments:

  1. Terbaikkk... ������

    ReplyDelete