Catatan Penulis Tesis (Bahagian 1)

Teks: Rafeah Wahi

Saya jarang mengimbas kenangan lalu tapi di saat ini tiba-tiba teringat beberapa tahun lepas saya dan beberapa kawan check in hotel ala-ala retreat semata-mata hendak brainstorming proposal PhD dan cuba cari bakal penyelia.

Bila dah betul-betul sudah diterima masuk ke pengajian PhD, kami sedari perjalanan kami tak seindah taman bunga, namun sejuta syukur kerana ia bukan juga seburuk mimpi ngeri. Setiap hari ada perkara baru yang kami pelajari dan jelas nyata didikan Allah terhadap kami dalam setiap peristiwa yang kami alami.




Dalam pertemuan beberapa bulan lepas, penyelia saya berkata bahawa dia tidak pernah nampak saya ada masalah sepanjang pengajian PhD. Saya hanya mampu ketawa. Sebenarnya di sepanjang semester pertama, saya seringkali menangis seperti bayi kembung perut di dalam kereta sewaktu memandu dari rumah di Shah Alam ke UPM Serdang atas beberapa sebab yang kalau saya fikir-fikirkan semula sekarang, memang terlalu remeh. Saya boleh menangis kerana setiap hari sesat di jalan raya, kesesakan jalan raya, mengenangkan bayi saya di rumah yang mungkin menangis menunggu saya datang menyusukan kalau saya lewat pulang, tak tahu banyak kerja makmal, rasa tak cukup waktu belajar, rasa sedih suami jauh, rasa sayu kerana terpaksa menyusahkan mak untuk menjaga anak-anak saya, rasa letih sangat-sangat dan rasa tak mampu menyelesaikan segalanya dalam tempoh yang ditetapkan. Saya tidak tipu bila saya katakan dalam seminggu saya menangis sekurang-kurangnya 5kali.


Pada semester kedua suami berkorban sementara waktu dari pekerjaannya di Sarawak dan datang untuk menjaga 3 orang anak kami agar saya boleh tumpukan perhatian kepada peperiksaan komprehensif dan penyelidikan awal. Saya terhutang budi sepanjang hayat atas pengorbanannya ini. Saya rasa lega kerana mak sudah boleh kembali ke kampung yang sudah tentu terlalu dirinduinya. Semoga Allah kurniakan Jannatul Firdaus untuk mak yang tak mungkin terbalaskan jasa baktinya terhadap saya. Pada waktu ini saya sudah kurang menangis kerana hal ehwal keluarga, tapi saya mula menangis seperti anak remaja putus cinta kerana banyak eksperimen yang tidak menjadi, tumpah, dimarahi rakan semakmal dan sebagainya. Saya juga tidak lepas dari rasa tertekan bila eksperimen yang saya kira sudah betul, rupa-rupanya 100% salah. Perkara ini baru saya sedari apabila saya membentangkan hasil penyelidikan awal kepada ahli jawatankuasa penyelia. Pada waktu itu saya rasa jiwa hancur, letih dan geram. Tapi bila difikirkan semula, saya tukar semua emosi negatif menjadi kesyukuran. Sekurang-kurangnya kesalahan saya sudah dikenalpasti di peringkat awal, bukannya di peringkat akhir bila mana masa sudah suntuk.

Kalau ada yang tertanya-tanya kenapa tidak dihantar sahaja semua anak-anak ke taska agar suami boleh terus bekerja di Sarawak dan tak perlu menyusahkan mak, naluri keibuan saya rasa berat hati berbuat demikian kerana saya tahu saya sering balik lewat dan perlu ke makmal pada hujung minggu juga. Kenapa tidak ditinggalkan sahaja anak-anak bersama mak/suami di Sarawak? Tidak mungkin saya lakukan kerana saya tidak mahu menyesal di kemudian hari. Masa kecil anak-anak sekali sahaja, biar susah senang kita bersama mereka.

Pada semester ketiga dan sebahagian semester keempat saya rasa semangat juang saya berada di tahap tertinggi kerana telah lulus semua subjek wajib dan lulus peperiksaan komprehensif. Saya mula kerja-kerja eksperimen, menulis makalah jurnal dan menghadiri persidangan dengan yakin. Sehingga pada suatu hari Allah uji saya dengan eksperimen yang tidak menjadi. Berulangkali saya mengulangnya, berbincang dengan penyelia dan membuat bacaan tambahan lebih dari biasa untuk mencari punca dan menyelesaikannya, tapi segalanya buntu! Akhirnya bermula lagi episod menangis saya. Setiap hari saya menangis di makmal waktu tiada sesiapa. Sehingga pada suatu hari salah seorang AJK penyelia saya terjumpa saya sedang menangis. Bila ditanya saya tidak mampu menjawab kerana sibuk menangis seperti kematian kucing kesayangan. Apabila sudah reda, saya memberitahunya bahawa eksperimen saya tidak menjadi walaupun pelbagai cara telah saya buat. Beliau memberi saya kata-kata semangat dan alhamdulillah saya bangkit lagi. Saya mula cuba memperbaiki hubungan dengan Pencipta, dan sering berdoa secara spesifik keinginan saya. Setiap hari sebelum memulakan eksperimen di makmal saya akan terlebih dahulu 'telefon' Allah dengan pelbagai cara. Alhamdulillah kerja-kerja saya kembali berjalan lancar.

Segalanya berjalan lancar dan tenang sehingga saya rasa selesa kerana telah banyak kerja yang saya lakukan dan saya fikir insyaAllah saya akan bergraduat dalam tempoh yang ditetapkan. Lagipun salah satu makalah jurnal telah diterbitkan dan satu lagi sudah diterima dengan pembetulan. Berada di zon selesa terlalu lama sentiasa tidak baik. Saya perlahan-lahan mengurangkan kerja makmal di hujung minggu dan mula berniaga sambilan. Kenapa? Kerana saya fikir saya cuma ada 8 eksperimen sahaja lagi untuk siap dan sudah menyiapkan Bab 1, 2, dan 3 tesis saya. Boleh lah saya berehat sedikit dan buat sesuatu yang saya suka seperti berniaga hehe. Rupa-rupanya ini sedikit sebanyak telah mengurangkan fokus saya terhadap tugas menyiapkan PhD saya. Pada bulan kedua berniaga, saya refleksi diri dan saya mengambil keputusan untuk fokus kepada kedua-duanya dengan membahagikan masa saya dengan baik. Namun demikian, bukannya mudah mengejar dua ekor arnab. Kebiasaannya anda akan terlepas salah seekor dari arnab itu. 



Pada bulan keempat berniaga, saya refleksi diri lagi dan membuat keputusan berbeza. Saya akui saya sudah hilang fokus terhadap kedua-dua bidang yang saya ceburi ini, tiada satu pun kerja saya siap dalam kedua-dua bidang ini dan harus memilih salah satu untuk diselesaikan terlebih dahulu. Mungkin peluang perniagaan itu hadir sebagai ujian dalam kehidupan saya. Jadi saya ambil keputusan untuk selesaikan PhD dengan cemerlang terlebih dahulu. Saya yakin Allah akan kurniaan lebih rezeki sekiranya saya bertanggungjawab dalam menyelesaikan amanah menuntut ilmu dan menyiapkan PhD yang telah diamanahkan oleh majikan dan kerajaan Malaysia. Maka saya memperlahankan dinamika perniagaan sambilan saya (bukan berhenti hehe) dan memberi tumpuan berlipat kali ganda terhadap tesis saya dan eksperimen yang berbaki.



Hari demi hari berlalu, rupa-rupanya saya sudah memasuki bulan pertama untuk semester kelima. Walaupun ini bukan semester terakhir saya, menurut notis penghantaran tesis, sepatutnya saya akan menghantar tesis pada hujung bulan pertama ini, iaitu pada 28 Februari 2014. Ini adalah sasaran peribadi yang saya buat pada awal semester keempat dahulu. Saya mula panik dan tidak tentu arah. Tekanan adakalanya tidak dapat dielakkan dan saya mula menangis lagi. Saya suka bersembunyi di rumah (di makmal kurang selesa dan di pejabat terlalu sejuk) untuk menyiapkan tesis tetapi saya sangat hairan mengapa tesis itu tidak siap-siap juga?

Jika nak tahu lebih lanjut, ikuti cerita selanjutnya nanti..tunggu ya...

Salam sayang,

RW

Comments

Popular posts from this blog

Apabila pensyarah lambat muat naik nota kuliah

Jelajah Alam dengan Permainan Mencari Harta Karun

10 sebab untuk sambung PhD