Pakaian Kesayangan Budaya Mesra Alam

Teks: Rafeah Wahi

Alah membeli menang memakai. Itu pepatah yang sering menjadi pegangan kebanyakan pengguna bila membeli sesuatu, termasuk pakaian. Kebanyakan pakaian berkualiti tinggi masih kekal cantik dan tahan walaupun setelah beberapa tahun dipakai. Ada juga pakaian berkualiti sederhana tetapi dijaga dengan rapi dan jarang dipakai kekal cantik dan tahan selepas beberapa tahun.

Kita juga biasa mendengar istilah pakaian bundle atau kedai bundle yang sinonim dengan pakaian terpakai. Istilah baru yang menarik disebut dan didengar ialah pakaian preloved (kesayangan/pernah disayangi) yang bermakna pakaian terpakai yang amat disayangi dan dijaga sebaiknya oleh pemiliknya asalnya.

Dalam kalangan masyarakat kita, amalan mewariskan pakaian kesayangan sudah menjadi kebiasaan. Sebahagian contoh situasinya adalah seperti berikut:


  • Pakaian bayi diwariskan sesama ahli keluarga/kawan.
  • Pakaian kesayangan yang masih elok dan sudah tidak dipakai lagi dihadiahkan kepada orang lain yang memerlukan/mahu memakainya.
  • Pakaian kesayangan yang berlebihan dan tidak dipakai dijual semua ke kedai bundle atau secara online.
  • Pakaian kesayangan dihadiahkan kepada badan kebajikan atau mangsa bencana, dan banyak lagi contoh lain.


Pada pendapat saya, mewariskan dan menerima pakaian kesayangan adalah suatu amalan mulia dan mesra alam. Amalan ini juga dapat mengelakkan pembaziran sumber dan meminimumkan permintaan terhadap pengeluaran pakaian baru di pasaran.


Baju romper Oshkosh saya beli RM35 sebelum kelahiran Musa (tahun 2008)


Sebelum Hasan, Safwa juga telah pakai baju ni pada umur yang sama. Sayang sekali tak jumpa gambarnya. Lihat warnanya masih cantik (tahun 2012).


Sekadar berkongsi pengalaman sendiri, ketika emak menjahitkan bengkung dan pelbagai keperluan bersalin semasa saya hamil anak sulung dahulu awal-awal lagi beliau sudah berpesan. Katanya, segala keperluan yang dijahit ini adalah untuk dikongsi dan diwariskan di dalam keluarga kami sekiranya ada lagi kelahiran dari adik beradik saya yang lain. Oleh itu, bila sahaja adik saya berada di penghujung kehamilannya, saya nyah kuman segala pakaian bayi, bengkung, bedung kain, tilam dan bantal bayi dan pelbagai kelengkapan lain dan menyerahkannya kepada adik saya pula. Demikian pula bila saya bersalin anak kedua, saya menerima segala kelengkapan tersebut semula, ditambah dengan beberapa helai pakaian bayi baru lahir anaknya pula! Memang menjimatkan kos dan menambah kasih-sayang dan silaturrahim di antara kami.

Adakalanya saya juga mendapat pakaian kesayangan dari kakak ipar dan rakan-rakan sekerja. Anak-anak mereka sudah membesar dan saya pula ada beberapa anak kecil. Kadang-kadang saya lucu bila mereka berhati-hati bertanya sama ada saya mahukan pakaian kesayangan tersebut. Mungkin takut saya berkecil hati atau apa, saya pun tidak pasti :) Namun saya katakan, boleh! Dengan senang hati saya terima :)

Tiada apa yang perlu dimalukan. Pakaian yang dihadiahkan dengan ikhlas akan mendapat ganjaran yang terbaik dari Tuhan. Sedangkan sedekah setengah biji kurma pun Allah memandangnya, inikan pula sehelai pakaian kesayangan yang dihadiahkan dengan ikhlas kan? Selagi pakaian kesayangan itu memberi manfaat kepada pemakainya, selagi itulah kita mendapat pahala berterusan. Kalau dibuang begitu sahaja, alangkah membazirnya...

Dalam masa yang sama, izinkan saya berkongsi sedikit tips dalam menghadiahkan/menjual pakaian kesayangan:


  • Pastikan pakaian itu bersih, bebas koyak dan telah dicuci sebelum dihadiahkan/dijual.
  • Sebaiknya hadiahkanlah pakaian yang masih cantik warnanya. Yang sudah lusuh/koyak teruk biar kita jadikan kain lap atau bahan kitar semula sahaja.
  • Elakkan memberi pakaian dalaman atau sesuatu yang melibatkan isu kesihatan.
  • Lipat elok-elok dan masukkan pakaian yang hendak dihadiahkan ke dalam bekas yang bersih. Kalau mahu, letak dalam kotak hadiah pun bagus. Ini menunjukkan kesungguhan dan keikhlasan.
  • Berilah tanpa mengharapkan sebarang balasan, waima ucapan terima kasih. Lepas beri, lupakan. Usah diungkit lagi.

Kalau setiap keluarga dapat mengamalkan budaya pakaian kesayangan ini, banyak manfaat yang kita telah tinggalkan kepada alam sekitar. Amalan ini juga insyaAllah ada keberkatannya yang tersendiri kerana telah mengelakkan pembaziran dan mengeratkan silaturrahim.

Salam sayang penuh mesra alam.

RW





Comments

Popular posts from this blog

Apabila pensyarah lambat muat naik nota kuliah

Jelajah Alam dengan Permainan Mencari Harta Karun

10 sebab untuk sambung PhD