Ada Apa Dengan Pakaian Lama?

Teks: Rafeah Bt Wahi

Setiap 6 bulan, saya suka asingkan pakaian-pakaian lusuh atau yang sudah terkena kotoran degil yang tak mampu dihilangkan (biasa terjadi di rumah saya bila anak-anak melakarkan kreativiti mereka menggunakan pen marker ke pakaian sendiri).

Sebahagian pakaian lusuh yang sesuai saya hantar ke pondok kitar semula di Taman BDC, Kuching. Selalunya, belum sempat pun saya keluarkan dari kereta, sudah ada beberapa orang yang menghulur tangan untuk menyambut beg pakaian tersebut. Mereka bukan pekerja di pondok kitar semula itu, tetapi mereka sebahagian penduduk kawasan berdekatan yang menjadikan pakaian lama sebagai punca rezeki. Pakaian tersebut sama ada diambil untuk kegunaan ahli keluarga sendiri atau dijual kepada jiran-jiran berdekatan dengan harga serendah 50 sen – RM20. Kreatif sekali!

Sebahagian lagi pakaian lusuh dari kain jenis kapas saya asingkan untuk digunakan di rumah. 

Anda juga boleh cuba beberapa idea kreatif ini untuk guna semula pakaian lama di rumah anda:
1.    Gunting kemeja T untuk dibuat kain lap meja.
2.    Kemeja T dan seluar khakis boleh dibuat kain lap tingkap, lap lantai atau alas kaki.
3.    Gunting pakaian ikut saiz sapu tangan, buat beberapa lapisan sehingga cukup tebal untuk dibuat alas teko/mangkuk panas.
4.    Gunting pakaian ikut kesesuaian dan boleh dibuat kraftangan seperti sapu tangan, sarung bantal, selimut ala patchwork, beg dan gelang tangan.
5.    Guna semula kemeja T lebih yang masih cantik untuk reka pakaian baru – contohnya seluar kecil, anak tudung ala head band, alas lampin kain, seluar dalam anak atau gaun anak.



Melalui guna semula pakaian lama ini kita sebenarnya telah melakukan sesuatu yang penting dan amat bermakna untuk alam sekitar. Selamat mencuba!

Sekian dulu entri kali ini. Salam sayang…

RW



Comments

Popular posts from this blog

Peti Harta Karun Dari Kotak

Jelajah Alam dengan Permainan Mencari Harta Karun

Panduan Pengasingan Sisa Pepejal di Sumber/Punca.