Salam Persaudaraan Dari Saya

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua..Selamat datang ke blog saya. Nama saya Rafeah Wahi. Saya dilahirkan di Kuching, Sarawak pada tahun 1979 dan merupakan anak sulung dari enam adik-beradik. Saya berketurunan Melanau dan beragama Islam. Bapa saya seorang kakitangan awam dan ibu saya seorang surirumahtangga. Ibu bapa saya memang insan hebat dan penuh kasih sayang. Saya dan adik-adik dibesarkan oleh ibu bapa kami dalam gaya hidup sederhana, namun penuh dengan wawasan dan kecintaan terhadap ilmu, Alhamdulillah. Saya bertemu jodoh dengan seorang lelaki soleh dan hebat, YBhg Ustaz Zulkefly Ibrahim. Kami bernikah pada tahun 2007 dan setakat ini kami dikurnai Allah dengan 3 orang anak yang comel dan bijak.

Saya mendapat pendidikan awal di TABIKA Perpaduan RPR Batu Kawa dan SRB Garland, Kuching. Saya kemudian menyambung persekolahan di SMK Agama Sibu sehingga Tingkatan 5 sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat Matrikulasi Universiti Sains Malaysia (USM) di SMS Labuan dan kampus USM di Pulau Pinang. Setelah itu saya menyambung pengajian ke peringkat ijazah di Kampus Kejuruteraan USM, Tronoh, Perak dan Transkrian, Pulau Pinang. Alhamdulillah saya bergraduat pada tahun 2002 dengan Ijazah Sarjana Muda Kepujian Kejuruteraan Sumber Mineral. Temuduga pertama untuk jawatan Tutor di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) sebulan selepas tamat peperiksaan akhir ijazah pertama akhirnya memberikan saya peluang melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana (Ijazah Sarjana Kejuruteraan Persekitaran, Universiti Putra Malaysia (UPM), 2007). Setelah beberapa tahun berkhidmat sebagai Pensyarah di Jabatan Kimia, Fakulti Sains dan Teknologi Sumber UNIMAS, kini saya sedang melanjutkan pengajian di peringkat doktor falsafah dalam bidang Kejuruteraan Persekitaran, juga di UPM. Ketika entri ini ditulis, saya berada di semester keempat pengajian Phd saya.

Kemahiran dan minat saya adalah pemeliharaan alam sekitar. Saya amat mengambil berat akan kepentingan alam sekitar yang bebas pencemaran dan sentiasa sedaya upaya mengamalkan kehidupan yang mesra alam. Ini kerana saya percaya alam sekitar ini adalah amanah yang Allah berikan kepada manusia untuk dimakmurkan, bukan dizalimi dan dihancurkan. Lagipun, ada juga benarnya ungkapan bahawa bumi ini kita ‘pinjam’ dari anak cucu kita. Kalau kita tidak mengekalkan persekitaran yang aman dan sihat, bagaimana agaknya bumi yang bakal anak cucu kita warisi nanti?

Bertitik tolak dari rasa bertanggungjawab terhadap pemeliharaan alam sekitar, saya memilih kehidupan mesra alam. Contohnya, anak-anak saya dibiasakan dengan lampin kain moden semasa zaman bayi mereka sehingga akhirnya saya bertekad membantu menyebarkan kebaikan lampin kain moden kepada orang lain pada tahun 2010. Bermula dari membantu kawan-kawan mendapatkan lampin kain moden, saya akhirnya berjinak-jinak dengan perniagaan lampin kain moden dan mengumpul maklumat di blog untuk dikongsikan kepada semua orang. Walaupun sekarang saya lebih aktif dalam berkongsi kebaikan supplement Shaklee dan gaya hidup sihat, saya masih lagi membantu sesiapa sahaja yang memerlukan bantuan berkenaan lampin kain moden.

Impian? Seperti orang lain, saya juga punya impian dan matlamat hidup. Dalam keluarga, matlamat saya ialah membantu suami mewujudkan baitul muslim, membesarkan anak-anak menjadi mukmin professional agar menjadi saham akhirat kami semua. Dalam kerjaya akademik, matlamat saya 8 tahun lagi adalah untuk menjadi cendekiawan dalam bidang Kejuruteraan Persekitaran (Profesor) dan membantu universiti melahirkan graduan berkualiti. Dalam kehidupan peribadi, dalam masa 2 tahun lagi saya ingin menunaikan haji. Saya juga ingin mengembara ke seluruh dunia, melihat bumi Allah dan budaya manusia yang pelbagai. Saya ingin membantu masyarakat membudayakan kehidupan mesra alam. Dalam masa 10 tahun lagi saya juga ingin jadi billionaire mukmin yang menolong masyarakat maju. Ya Allah, banyak lagi impian dan matlamat saya. Namun segala matlamat ini tak lain hanya sebagai jambatan kepada matlamat utama saya untuk bahagia selama-lamanya bersama insan-insan tersayang di syurga nanti. Amin…

Sampai di sini dulu catatan pertama saya di blog ini. Sehingga bertemu lagi!

RW




Comments

Popular posts from this blog

Apabila pensyarah lambat muat naik nota kuliah

Jelajah Alam dengan Permainan Mencari Harta Karun

10 sebab untuk sambung PhD