Mak, Saya Malu Nak Pakai Pelapik Kain!

Teks: Rafeah Wahi

“Mak, saya malu nak pakai pelapik kain!’ kata hati saya pada suatu ketika dulu. Tapi pemberontakan tu dalam hati sahaja. Ketika itu umur baru menginjak 13 tahun dan sudah mula memasuki sekolah asrama. Malu dengan kawan-kawan semuanya memakai tuala wanita pakai buang, sedangkan di rumah, ibu menggalakkan penggunaan pelapik kain (cloth pad). 

Pada masa itu, saya tidak faham kenapa mesti susah-susah cuci dan jemur selepas guna pelapik kain sedangkan tuala wanita pakai buang lebih memudahkan. Sudahlah begitu, pelapik kain itu diperbuat dari tuala, pakaian lama atau kain batik yang lusuh. Jadi tak begitu cantik. Oleh sebab saya tinggal di asrama, maka saya ambil jalan mudah menggunakan tuala wanita pakai buang. Tapi kalau balik bercuti di kampung, saya kembali kepada pelapik kain.


Teringat lagi pada masa itu, salah satu isu utama yang sering pihak warden sebut sekiranya ada perhimpunan ialah berkenaan pembuangan tuala wanita ke dalam lubang tandas. Saya sejujurnya tidak buat perkara itu kerana sejak kecil dididik bahawa sampah tempahnya di tong sampah. Tapi itu realiti yang terpaksa dihadapi di sekolah asrama pada masa itu. Tandas sering tersumbat dan bila disiasat, tuala wanita adalah puncanya. Sungguh menjijikkan jika nak diingat-ingatkan.



Tapi sekarang, saya dan pelapik kain adalah umpama teman rapat! Alhamdulillah bermula dari jasa ibu bapa dan guru yang mendidik kita supaya tegar menuntut ilmu melalui pembacaan, saya mula memandang penggunaan tuala wanita pakai buang adalah sesuatu yang benar-benar berbahaya kepada alam sekitar dan kesihatan. 

Sebahagian besar wanita di seluruh dunia menggunakan tuala wanita pakai buang (disposable menstrual pad) setiap kali datang haid. Menurut akhbar Berita Harian [1], populasi wanita di Malaysia adalah 13.77 juta. Katakan separuh dari wanita Malaysia menggunakan tuala wanita pakai buang. Cuba kita buat kira-kira mudah ya,

10 helai/bulan/wanita x 6.5 juta wanita x 12 bulan/tahun = 780 juta helai/tahun

Katakan pula setiap wanita ini menggunakan tuala wanita pakai buang selama 30 tahun dari kehidupan mereka:

780 juta helai/tahun x 30 tahun = 23.4 billion helai

Wah, banyak juga tu! Sebenarnya, 23.4 billion helai tuala wanita pakai buang ini tidak terlupus dengan mudahnya kerana ia diperbuat daripada bahan sintetik seperti plastik yang memerlukan masa ratusan tahun untuk lupus sepenuhnya. Sementara hendak menunggu ratusan tahun itu, pastinya tapak pelupusan sampah sudah dipenuhi dengan tuala wanita pakai buang!



Belum lagi masuk bab kesihatan yang berkaitan dengan penggunaan berterusan tuala wanita pakai buang. Kebanyakan tuala wanita pakai buang biasa diperbuat dari pulpa kayu atau kertas yang telah dilunturkan warnanya menggunakan klorin (sebab itu warnanya putih melepak!). Klorin pula menghasilkan dioksin yang dihubungkaitkan dengan penyakit endometriosis [2] dan kanser [3]. Bahan penjerap basahan diperbuat dari gel polyacrylate. Material Safety Data Sheet (MSDS) menunjukkan bahawa polyacrilate tidak memberi sebarang bahaya terhadap kesihatan manusia. Namun begitu, ada juga kajian yang mengaitkannya dengan masalah alergi kulit kerana mampu menyerap lembapan semulajadi kulit secara berlebihan [3].

Di lain entri saya akan kongsikan lebih lanjut berkenaan pelapik kain, kebaikannya dan betapa mudah mengendalikannya. Anda pasti jatuh cinta! Tunggu ya…

Salam sayang buat semua.

RW


[1] Berita Harian, Penduduk Malaysia kini 28.3 juta, 29 Julai 2011.
[2] Rier, S & Foster, W.G.(2002). Environmental dioxins and endometriosis, Toxicological Sciences 70(2): 161-170
[3] Paul (2013). Sanitary Pads – Risk of uterus cancer, http://www.healthowealth.com/are-sanitary-pads-safe/.

Comments

Popular posts from this blog

Apabila pensyarah lambat muat naik nota kuliah

Jelajah Alam dengan Permainan Mencari Harta Karun

10 sebab untuk sambung PhD