Kita dan Rancangan ‘Clean House’

Teks: Rafeah Wahi

Pada hujung minggu lepas, saya sempat menonton rancangan ‘Clean House’. Episod yang saya tonton itu memaparkan sebuah keluarga yang memiliki terlalu banyak barang di rumah mereka, sehingga tiada lagi ruang untuk bergerak dengan selesa. Pasukan ‘Clean House’ telah membantu mereka melapangkan rumah dan menghias semula kediaman mereka. Menariknya, setelah barang-barang yang dikenalpasti tidak perlu atau tidak sesuai dikeluarkan, mereka mendapati beberapa perkara:

-Terlalu banyak kasut, pakaian, hiasan mini dan barangan koleksi yang tidak digunakan
- Alatan sukan dan perabot berlebihan serta bersaiz terlalu besar
- Banyak barangan lusuh dibiarkan di dalam rumah

Walaupun pada mulanya keluarga tersebut sukar untuk menerima hakikat bahawa sebahagian barangan dan perabot kesayangan mereka terpaksa dijual, mereka akhirnya akur demi kehidupan yang lebih selesa untuk bayi mereka. Barang-barang tersebut dijual di jualan garaj dan barang-barang yang tidak terjual perlu didermakan kepada pihak yang memerlukan.
Hasil dari jualan tersebut sebanyak lebih kurang USD4000 dapat dikumpulkan, dan wang tersebut digunakan untuk menghias semula kediaman mereka agar lebih lapang, bersih dan selesa. Banyak pengajaran yang kita boleh ambil daripada episod yang saya tonton itu sebenarnya.

Pertama, kalau kita hanya membeli barang yang perlu sahaja di kediaman kita, kita bukan sahaja menjamin kediaman yang lapang dan selesa, malah memelihara alam sekitar juga. Kenapa saya kata begitu? Ini kerana apabila kita membeli barangan melebihi keperluan, kita menggalakkan industri mengeluarkan lebih banyak barang. Apabila lebih banyak barang dikeluarkan oleh industri, bertambahlah penggunaan sumber dan pencemaran alam.

Kedua, ramai juga di antara kita yang begitu sayang dengan barangan lama. Contohnya, mesin jahit yang sudah tidak berfungsi, perabot warisan, mesin taip, komputer dan pencetak rosak, plastik, bekas makanan dan macam-macam lagi barang yang meninggalkan nostalgia atau yang kita rasa mungkin kita perlukan lagi suatu hari nanti. Akhirnya kediaman dipenuhi barang-barang lusuh dan menggalakkan pembiakan haiwan-haiwan pembawa penyakit seperti tikus, dan lipas.

Ketiga, kita sering lupa bahawa rezeki kita yang sebenar-benarnya ialah apa yang habis kita gunakan atau makan. Baju yang sudah kecil atau longgar bukan rezeki kita lagi. Tulang ikan dalam pinggan nasi campur kita bukan rezeki kita, sebaliknya mungkin rezeki kucing atau tikus. Pakaian, makanan, barang, perabot dan perhiasan yang tidak digunakan bukan rezeki kita. Wang yang kita belum gunakan bukan rezeki kita. Ia hanya menjadi rezeki kita kalau kita sedekahkan atau jual kepada pihak yang lebih memerlukan. Kita dapat pahala, maka pahala itu rezeki kita.

Saya kongsikan beberapa tips mudah dalam berbelanja secara mesra alam untuk kediaman kita.

-       -Beli apa yang kita perlu, bukan apa yang kita mahu.
-      -Fikir dahulu sebelum buang. Amalkan 3R: guna semula (reuse), kurangkan sampah (reduce),kitar semula (recycle).
-      - Elakkan pembelian berganda. Contohnya lebih dari satu sofa, TV, gajet atau perabot lain sedangkan tidak diperlukan.
-       -Buat housekeeping secara berkala untuk mengenalpasti barang yang boleh dikitar semula, serta menyisihkan barang yang rosak dan tidak diperlukan. Barang yang masih elok tetapi tidak digunakan pun seeloknya dijual semula atau disedekahkan.
-       -Pilih barang berkualiti dan tahan lama.

Saya akan kongsikan lebih lanjut tentang 3R pada entri saya yang akan datang, insyaAllah. Sehingga itu, salam sayang dari saya.

RW



Comments

Popular posts from this blog

Apabila pensyarah lambat muat naik nota kuliah

Jelajah Alam dengan Permainan Mencari Harta Karun

10 sebab untuk sambung PhD