Permainan Aktif dengan Sumber Sedia Ada di Rumah

Teks: Rafeah Wahi


Salam sayang semua. Ramai ibu bapa yang beranggapan bahawa membeli permainan mampu meningkatkan daya kreativiti anak, selain memberi mereka kegembiraan bermain. Pendapat itu tidak salah, namun boleh dipertingkatkan ke satu tahap yang lebih baik lagi dengan mengetahui satu fakta lagi. Fakta itu ialah, kanak-kanak juga mampu mendapat kegembiraan bermain dan peluang mempertingkatkan kreativiti mereka dengan menggunakan bahan yang sedia ada di rumah.

Kanak-kanak sememangnya ciptaan Allah yang sangat fitrah dan mudah digembirakan. Terdapat banyak peralatan rumah dan bahan kitar semula yang mampu merealisasikan hasrat bermain dan memupuk kreativiti anak-anak. Saya kongsikan sebahagian daripadanya idea mesra alam ini:


1. Kotak

Tidak kiralah kotak-kotak kecil seperti kotak ubat gigi dan kotak bijirin sarapan, mahupun kotak-kotak besar semuanya boleh dijadikan bahan permainan asalkan dipastikan bersih dan selamat. Berikan sahaja kotak tersebut dan lihat bagaimana si kecil mencipta dan membayangkan kotak-kotak tersebut sebagai sesuatu yang menarik.

Idea kotak kecil: Buat kenderaan seperti lori/keretapi, main jual beli, buat bangunan.
Idea kotak besar: Buat kenderaan yang boleh dimasuki, robot, rumah mainan, patung, bangunan.





2. Perkakasan rumah

Pastikan perkakasan rumah yang selamat sahaja diberikan kepada anak-anak untuk bermain. Besen mandi, periuk belanga dan pinggan mangkuk plastik boleh digunakan untuk memeriahkan permainan pondok-pondok mereka.




3. Pita selofan

Pita selofan memang ajaib, murah dan mudah. Lihat di dalam gambar di bawah bagaimana pita selofan digunakan untuk mewujudkan satu jalan raya dan taman perumahan imaginasi mereka. Selepas digunakan, pita selofan boleh ditanggalkan dengan mudah dan boleh digulung semula sebaiknya untuk digunakan lagi di hari mendatang pula. Menarik kan!




3. Simen dan Kapur

Biar sahaja mereka menconteng di simen menggunakan kapur sekali sekala. Anda pasti takjub melihat daya imaginasi mereka diluahkan di sebalik lukisan. Lukisan kapur ini mudah dicuci dan tidak meninggalkan kesan toksik terhadap alam sekitar. Tinggal lagi jangan biarkan anak anda terdedah dengan debu kapur berlebihan ya!




4. Bawah meja

Bermain di bawah meja juga suatu perkara yang menarik bagi kanak-kanak. Tak perlu keluarkan modal yang tinggi. Ambil kain selimut untuk menjadikan bawah meja sebagai pondok-pondok, atau berikan pinggan mangkuk dan cawan plastik untuk mereka bermain minum teh, atau mungkin hanya baring-baring di bawah meja makan sambil membaca (atau pura-pura membaca)! Anak-anak pasti suka, percayalah!


Ini hanya sebahagian daripada idea yang  telah saya praktikkan dan dapat saya kongsikan bersama. Kesimpulannya, apa-apa sahaja yang tidak berbahaya boleh dijadikan permainan kanak-kanak di rumah. Selain mengurangkan kos membeli banyak permainan, ia juga mampu menyelamatkan alam sekitar! Jangan lupa mengawasi anak-anak agar sentiasa selamat semasa bermain di rumah ya!

Terima kasih kerana membaca entri kali ini. Semoga berjumpa lagi.



Salam sayang,

Rafeah Wahi

Comments

Popular posts from this blog

Apabila pensyarah lambat muat naik nota kuliah

Jelajah Alam dengan Permainan Mencari Harta Karun

10 sebab untuk sambung PhD