Pengurusan Sisa Pepejal: Ketahui Tanggungjawab Anda

Teks: Rafeah Wahi


Beberapa hari lepas saya sempat menonton Majalah 3 di TV3 yang memaparkan isu pengurusan sisa pepejal. Alhamdulillah bagi saya pendekatan santai yang digunakan melalui kisah Pak Mahat (seorang pemandu lori pengangkut sampah) telah dapat menerangkan secara umum betapa seriusnya isu pengurusan sisa pepejal di Malaysia.

Tahukah anda bahawa secara purata rakyat Malaysia menghasilkan 0.8 kg sisa pepejal (sampah) setiap hari? Di bandar-bandar besar, lebih banyak sampah dihasilkan iaitu purata 1.5 kg sampah per kapita. Apakah maknanya statistik sebegini? Ini bermakna, di bandar-bandar besar, sebuah keluarga yang terdiri daripada ibu, bapa dan dua anak menghasilkan 6 kg sampah sehari atau 42 kg sampah seminggu atau 180 kg sampah sebulan. Seorang jurufoto profesional, Gregg Segal pernah menghasilkan suatu karya kreatif yang menggambarkan keadaan ini di dalam karya beliau yang bertajuk "7 Days of Garbage".  Apabila melihat gambar-gambar ini, sungguh mengerikan bagaimana kita telah menjadi sebahagian dari penyumbang kepada penimbunan sisa pepejal jika amalan ini diteruskan. Perkara ini serius kerana walaupun banyak tapak pelupusan sampah telah diwujudkan, ia tidak dapat menampung sisa pepejal yang semakin hari semakin bertambah.


7-days-of-garbage-environmental-photography-gregg-segal-8
Salah satu karya jurufoto Gregg Segal dalam siri  "7 Days of Garbage" ( http://www.boredpanda.com/7-days-of-garbage-trash-pollution-photography-gregg-segal/ )


Pada pendapat saya, ada beberapa faktor yang menyebabkan pengurusan sampah di Malaysia unik dan sukar dikendalikan dengan sistematik.

1. Kurangnya kesedaran untuk mengurangkan jumlah sampah yang dihasilkan.
2. Tiada/terlalu sedikit pengasingan sampah dilakukan di peringkat isi rumah.
3. Kurangnya kemudahan, kempen, insentif dan pelaksanaan besar-besaran pengasingan sampah dan kitar semula.

Namun ada berita baik. Anda mampu mengubahnya. Kita semua mampu mengubahnya. Jika semua isi rumah mampu melaksanakan perkara 1 dan 2 yang sebenarnya amat mudah diamalkan, kita dapat membantu mengurangkan penimbunan sisa pepejal malah mampu berjimat. Sebahagian daripada kita telahpun mula melakukan perkara 1 dan 2, dan ini dibuktikan oleh statistik yang menunjukkan peningkatan di dalam tahap kitar semula pada tahun 2012. Bayangkan jika setiap isi rumah dapat mempraktikkan pengurangan sampah melalui kitar semula, masalah penimbunan sisa pepejal ini dapat dikurangkan pada kadar yang signifikan.



Apa peranan dan tanggungjawab anda?

1. Kurangkan jumlah sampah yang dihasilkan di rumah.


  • Gunakan bekas makanan sendiri sekiranya membeli makanan bawa pulang (take-aways). Elakkan pembungkus makanan kertas atau polisterin. 
  • Pilih untuk menggunakan sapu tangan berbanding tisu kertas, lampin kain berbanding lampin pakai buang, pelapik kain berbanding tuala wanita pakai buang, pinggan mangkuk kekal berbanding pakai buang dan seumpamanya.
  • Apabila berbelanja di pasar, minta penjual ikanayam/daging untuk menyiang bahan-bahan tersebut sebelum anda membawanya pulang. Melalui cara ini, anda mengurangkan sampah basah atau organik di rumah anda. (Nota: Sampah basah/organik yang bercampur dengan sampah kering juga merupakan suatu masalah kepada sistem pengurusan sisa pepejal).
  • Memasaklah secukupnya sahaja. Selain mengelakkan dari pembaziran yang ditegah agama, anda juga dapat mengurangkan sampah.
  • Belilah bahan makanan berpeket besar yang boleh diisi semula ke dalam bekas kedap udara. Kurangkan penggunaan bahan berpaket kecil, contohnya bungkusan minuman 3 dalam 1, gula/krimer dalam sachet kecil dan seumpamanya.
  • Bancuh sendiri minuman di rumah. Kurangkan membeli minuman botol dan tin.
  • Tapis sendiri air minuman. Elakkan membeli air bertapis botol.
  • Guna kedua-dua belah kertas sebelum dibuang.
  • Kitar semula semaksimum mungkin.



2. Asingkan sampah

Asingkan sampah kepada dua kategori iaitu BAHAN BOLEH KITAR SEMULA dan SISA PEPEJAL.

Bahan boleh kitar semula pula boleh dibahagikan kepada beberapa kategori, seperti kertas, tin/kaca dan plastik. Untuk membaca lebih lanjut berkenaan kaedah melaksanakan tong kitar semula di rumah anda sendiri, boleh baca di sini.

Sisa pepejal seperti sisa organik (sisa yang mudah reput contohnya sisa makanan), asingkan di dalam plastik yang berasingan. Sebaiknya, apabila ada sisa organik seperti sisa makanan, utamakan memberinya kepada haiwan seperti kucing dan burung sekiranya bersesuaian. Jika tidak sesuai, cubalah membuat kompos untuk menyuburkan taman mini di rumah anda. Jika tiada pilihan lain, barulah dibuang. InsyaAllah saya kongsikan kaedah membuat kompos dalam entri yang lain nanti ya!

Jangan lupa ada sejenis sisa pepejal lagi yang perlu diambil kira, iaitu sisa berjadual. Sisa berjadual ialah sebarang sisa yang toksik dan berbahaya. Sebahagian daripada contoh sisa berjadual ialah tong cat, botol spray, bateri, peralatan elektronik lama, botol pencuci kimia dan seumpamanya. Anda boleh asingkan di suatu bekas berasingan dan serahkan ke pusat kitar semula agar mereka boleh membantu mengitar semula atau membuangnya secara selamat.


Setakat ini dahulu cerita kita kali ini. Semoga anda mendapat manfaatnya ya.

Salam sayang penuh mesra alam,
Rafeah Wahi

Comments

Popular posts from this blog

Apabila pensyarah lambat muat naik nota kuliah

Jelajah Alam dengan Permainan Mencari Harta Karun

10 sebab untuk sambung PhD