Lampin Kain di Taska - Boleh Ke?

Teks: Rafeah Wahi

Ini sambungan cerita saya berkenaan lampin kain/cloth diapers (CD) sebagai alternatif yang lebih mesra alam dalam asuhan anak-anak pada beberapa entri yang lalu.


Ada keluhan dari seorang sahabat yang telah membeli CD dan amat menyukai kualiti serta penjimatan yang diperoleh. Katanya, beliau cuma pakaikan bayi dengan CD semasa beliau sendiri ada di rumah (pada waktu malam dan waktu cuti sahaja) kerana pengasuh enggan memakaikan bayi dengan CD.

Saya percaya ini juga merupakan kebimbangan ramai ibu bapa di luar sana kan? Hati terasa ingin nak mencuba sesuatu yang dah terbukti kebaikannya tetapi bimbang menyusahkan caregivers. Pelbagai masalah yang mengganggu fikiran, contohnya bimbang menyusahkan atuk dan nenek yang menjaga anak kita, atau pengasuh enggan mengendalikan CD kerana sibuk. Malah tidak hairan juga sekiranya ada taska yang menolak sekiranya kita nyatakan yang kita mahu bayi kita dipakaikan CD.

Anda tidak keseorangan dalam masalah ini. Walaupun sebenarnya CD telah diterima secara meluas di seluruh dunia termasuk di negara-negara barat, masih ada yang kurang faham atau skeptikal tentang pengendaliannya. Di antara faktor utama berlaku sebegini ialah kerana mereka tidak pernah melihat sendiri CD dan kurang pendedahan terhadap bagaimana CD dikendalikan. Mungkin terbayang di fikiran mereka bahawa pengendaliannya leceh seperti lampin kain zaman dahulu kala (ingat kan? Lampin dulu-dulu yang perlukan pin besar, pelapik plastik, perlu ditukar sejam sekali dan ada kemungkinan “khazanah” di sebalik lampin tercicir keluar jika bayi terlampau aktif!).

Jangan salahkan mereka. Biasalah tu, tak kenal maka tak cinta. Belum cuba belum tahu. Apa yang ibu bapa perlu buat? Kami kongsikan tips berguna:

  1. Pertama sekali ialah tunjukkan bagaimana rupanya CD dan jelaskan bagaimana ia berfungsi dan dikendalikan. Mereka akan faham sebenarnya pengendaliannya semudah lampin pakai buang.
  2. Jelaskan juga bahawa:
  • Mereka tidak perlu cuci CD tersebut kerana anda bawa sekali wet bag yang kalis air/bau untuk menyimpan CD kotor yang akan anda bawa pulang semasa mengambil anak dari taska.
  • Jika anda menggunakan disposable liner, anda bekalkan disposable liner yang boleh dipam terus ke dalam tandas bersama najis bayi. Selepas itu CD boleh terus digulung dan disimpan ke dalam wet bag.
  • Sekiranya mereka tidak selesa untuk keluar/masuk kan insert dari poket CD, anda akan sediakan CD secukupnya agar mereka boleh tukar CD seperti menukar lampin pakai buang biasa.
  • Anda akan sediakan CD yang sudah siap dilaraskan dan dimasukkan insert supaya mereka menukar CD semudah menukar lampin pakai buang.
  • Mereka tidak perlu tukar terlalu kerap (memadai 3-4 jam sekali) melainkan jika bayi membuang najis.

Atau anda katakan sahaja kepada mereka bahawa anak anda alah kepada lampin pakai buang (memang benar pun ramai bayi yang alah lampin pakai buang). Mereka tentu memahaminya.



Kenangan bakul taska Safwa

Kenangan bakul taska Safwa dan Hasan


Berkongsi pengalaman sendiri membekalkan CD untuk anak di taska, saya akui pada mulanya saya pun ragu kerana bimbang pihak taska tidak dapat mengendalikan seperti mana saya biasa kendalikan di rumah. Namun saya tetap cuba berbaik sangka, empati dan tidak terlalu mengharapkan kesempurnaan. Alhamdulillah, akhirnya sampai juga giliran saya menghantar anak ke taska dan merasai sendiri pengalaman ini. Sebelum mendaftarkan anak, saya terangkan lebih awal kepada pihak taska bahawa anak saya akan menggunakan CD sahaja. 

Alhamdulillah disambut baik oleh pihak taska. Pihak taska nampaknya tiada masalah menerima CD dan amat prihatin (setakat ini saya hantar ke 2 taska berlainan). Mungkin juga kerana saya memang menghantar anak-anak ke taska di rumah. Taska di rumah yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat biasanya tidak begitu ramai kanak-kanak. Saya amat menghargai kerjasama mereka dan berazam untuk mempermudahkan penggunaan CD agar pihak taska tidak rasa putus asa mengendalikannya. Di antara tips nya:

  • Saya mula dengan membekalkan campuran CD dan lampin pakai buang, dan secara berperingkat saya bekalkan CD sepenuhnya.
  • Bekalkan CD secukupnya (7-8 keping), yang siap dilaraskan saiznya, dan siap dimasukkan insert.
  • Beritahu pihak taska jadual penukaran CD. Saya akan kongsikan di bawah 1 contoh jadual.
  • Beritahu juga bahawa mereka tidak perlu bilas CD kotor. Boleh terus masukkan ke dalam wet bag atau beg plastik.
  • Kalau mampu, untuk anak-anak yang dah bebas bergerak dan susah nak duduk diam bila ditukar CD, sediakan CD jenis pull-up pants.
  • Setelah pihak taska biasa dengan pengendalian CD, jangan lagi sesekali bekalkan lampin pakai buang. Tunjukkan bahawa anda benar-benar konsisten dan serius dalam penggunaan CD.


Adik saya juga ada berkongsi pengalaman beliau:

Pengalaman Ameen minggu pertama di nurseri: pengasuhnya minta dibekalkan lampin pakai buang sebab dia mendakwa bahawa Ameen tidak dapat tidur lena sebab memakai CD! Oh, pada masa itu saya telah 3 bulan memakaikannya CD dan nampaknya tiada sebarang masalah untuk tidur lena. lagipun sejak memakai CD ruam lampin yang dialami Ameen semakin pulih. Alhamdulillah, selepas saya terangkan kepada mereka bahawa Ameen memang alah kepada lampin pakai buang, mereka tidak pernah lagi mempersoalkan perkara tersebut.


Saya kongsikan contoh jadual penukaran CD untuk panduan bersama, sekiranya menggunakan CD poket dengan insert mikrofiber:
  • 7 am -10am : 1 helai CD+ 1 insert
  • 10 am – 1 pm : 1 helai CD+ 1 insert
  • 1 pm – 4 pm : 1 helai CD+ 1 insert
  • 4 pm – 7 pm : 1 helai CD+ 1 insert
  • 7 pm – 12 am : 1 helai CD+ 2 insert
  • 12 am – 7 am : 1 helai CD+ 2 insert
Selang beberapa bulan selepas itu, saya dapati ada juga ibu-bapa lain mula menggunakan CD di taska tersebut. Alhamdulillah, dan saya harap tips ini juga berguna untuk rakan-rakan semua :)

Salam sayang penuh mesra alam dari saya.

RW

Comments

Popular posts from this blog

Apabila pensyarah lambat muat naik nota kuliah

10 sebab untuk sambung PhD

Jelajah Alam dengan Permainan Mencari Harta Karun