Kita dan Rancangan ‘Clean House’
Teks: Rafeah
Wahi
Pada hujung
minggu lepas, saya sempat menonton rancangan ‘Clean House’. Episod yang saya
tonton itu memaparkan sebuah keluarga yang memiliki terlalu banyak barang di
rumah mereka, sehingga tiada lagi ruang untuk bergerak dengan selesa. Pasukan ‘Clean
House’ telah membantu mereka melapangkan rumah dan menghias semula kediaman
mereka. Menariknya, setelah barang-barang yang dikenalpasti tidak perlu atau
tidak sesuai dikeluarkan, mereka mendapati beberapa perkara:
-Terlalu
banyak kasut, pakaian, hiasan mini dan barangan koleksi yang tidak digunakan
- Alatan
sukan dan perabot berlebihan serta bersaiz terlalu besar
- Banyak
barangan lusuh dibiarkan di dalam rumah
Walaupun pada
mulanya keluarga tersebut sukar untuk menerima hakikat bahawa sebahagian
barangan dan perabot kesayangan mereka terpaksa dijual, mereka akhirnya akur
demi kehidupan yang lebih selesa untuk bayi mereka. Barang-barang tersebut dijual
di jualan garaj dan barang-barang yang tidak terjual perlu didermakan kepada
pihak yang memerlukan.
Hasil dari
jualan tersebut sebanyak lebih kurang USD4000 dapat dikumpulkan, dan wang
tersebut digunakan untuk menghias semula kediaman mereka agar lebih lapang,
bersih dan selesa. Banyak pengajaran yang kita boleh ambil daripada episod yang
saya tonton itu sebenarnya.
Pertama,
kalau kita hanya membeli barang yang perlu sahaja di kediaman kita, kita bukan
sahaja menjamin kediaman yang lapang dan selesa, malah memelihara alam sekitar
juga. Kenapa saya kata begitu? Ini kerana apabila kita membeli barangan
melebihi keperluan, kita menggalakkan industri mengeluarkan lebih banyak barang.
Apabila lebih banyak barang dikeluarkan oleh industri, bertambahlah penggunaan
sumber dan pencemaran alam.
Kedua, ramai
juga di antara kita yang begitu sayang dengan barangan lama. Contohnya, mesin
jahit yang sudah tidak berfungsi, perabot warisan, mesin taip, komputer dan
pencetak rosak, plastik, bekas makanan dan macam-macam lagi barang yang
meninggalkan nostalgia atau yang kita rasa mungkin kita perlukan lagi suatu
hari nanti. Akhirnya kediaman dipenuhi barang-barang lusuh dan menggalakkan
pembiakan haiwan-haiwan pembawa penyakit seperti tikus, dan lipas.
Ketiga, kita
sering lupa bahawa rezeki kita yang sebenar-benarnya ialah apa yang habis kita
gunakan atau makan. Baju yang sudah kecil atau longgar bukan rezeki kita lagi.
Tulang ikan dalam pinggan nasi campur kita bukan rezeki kita, sebaliknya
mungkin rezeki kucing atau tikus. Pakaian, makanan, barang, perabot dan
perhiasan yang tidak digunakan bukan rezeki kita. Wang yang kita belum gunakan
bukan rezeki kita. Ia hanya menjadi rezeki kita kalau kita sedekahkan atau jual
kepada pihak yang lebih memerlukan. Kita dapat pahala, maka pahala itu rezeki
kita.
Saya
kongsikan beberapa tips mudah dalam berbelanja secara mesra alam untuk kediaman
kita.
- -Beli
apa yang kita perlu, bukan apa yang kita mahu.
- -Fikir
dahulu sebelum buang. Amalkan 3R: guna semula (reuse), kurangkan sampah (reduce),kitar
semula (recycle).
- - Elakkan
pembelian berganda. Contohnya lebih dari satu sofa, TV, gajet atau perabot lain
sedangkan tidak diperlukan.
- -Buat
housekeeping secara berkala untuk mengenalpasti
barang yang boleh dikitar semula, serta menyisihkan barang yang rosak dan tidak
diperlukan. Barang yang masih elok tetapi tidak digunakan pun seeloknya dijual
semula atau disedekahkan.
- -Pilih
barang berkualiti dan tahan lama.
Saya akan
kongsikan lebih lanjut tentang 3R pada entri saya yang akan datang, insyaAllah.
Sehingga itu, salam sayang dari saya.
RW
Comments
Post a Comment