Salam Persaudaraan Dari Saya
Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum
dan salam sejahtera semua..Selamat datang ke blog saya. Nama saya Rafeah Wahi. Saya dilahirkan di Kuching,
Sarawak pada tahun 1979 dan merupakan anak sulung dari enam adik-beradik. Saya
berketurunan Melanau dan beragama Islam. Bapa saya seorang kakitangan awam dan
ibu saya seorang surirumahtangga. Ibu bapa saya memang insan hebat dan penuh
kasih sayang. Saya dan adik-adik dibesarkan oleh ibu bapa kami dalam gaya hidup
sederhana, namun penuh dengan wawasan dan kecintaan terhadap ilmu,
Alhamdulillah. Saya bertemu jodoh dengan seorang lelaki soleh dan hebat, YBhg Ustaz
Zulkefly Ibrahim. Kami bernikah pada tahun 2007 dan setakat ini kami dikurnai
Allah dengan 3 orang anak yang comel dan bijak.
Saya mendapat
pendidikan awal di TABIKA Perpaduan RPR Batu Kawa dan SRB Garland, Kuching.
Saya kemudian menyambung persekolahan di SMK Agama Sibu sehingga Tingkatan 5
sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat Matrikulasi Universiti Sains
Malaysia (USM) di SMS Labuan dan kampus USM di Pulau Pinang. Setelah itu saya
menyambung pengajian ke peringkat ijazah di Kampus Kejuruteraan USM, Tronoh,
Perak dan Transkrian, Pulau Pinang. Alhamdulillah saya bergraduat pada tahun
2002 dengan Ijazah Sarjana Muda Kepujian Kejuruteraan Sumber Mineral. Temuduga
pertama untuk jawatan Tutor di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) sebulan
selepas tamat peperiksaan akhir ijazah pertama akhirnya memberikan saya peluang
melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana (Ijazah Sarjana Kejuruteraan
Persekitaran, Universiti Putra Malaysia (UPM), 2007). Setelah beberapa tahun
berkhidmat sebagai Pensyarah di Jabatan Kimia, Fakulti Sains dan Teknologi
Sumber UNIMAS, kini saya sedang melanjutkan pengajian di peringkat doktor
falsafah dalam bidang Kejuruteraan Persekitaran, juga di UPM. Ketika entri ini
ditulis, saya berada di semester keempat pengajian Phd saya.
Kemahiran dan
minat saya adalah pemeliharaan alam sekitar. Saya amat mengambil berat akan
kepentingan alam sekitar yang bebas pencemaran dan sentiasa sedaya upaya
mengamalkan kehidupan yang mesra alam. Ini kerana saya percaya alam sekitar ini
adalah amanah yang Allah berikan kepada manusia untuk dimakmurkan, bukan
dizalimi dan dihancurkan. Lagipun, ada juga benarnya ungkapan bahawa bumi ini
kita ‘pinjam’ dari anak cucu kita. Kalau kita tidak mengekalkan persekitaran
yang aman dan sihat, bagaimana agaknya bumi yang bakal anak cucu kita warisi
nanti?
Bertitik
tolak dari rasa bertanggungjawab terhadap pemeliharaan alam sekitar, saya memilih
kehidupan mesra alam. Contohnya, anak-anak saya dibiasakan dengan lampin kain
moden semasa zaman bayi mereka sehingga akhirnya saya bertekad membantu
menyebarkan kebaikan lampin kain moden kepada orang lain pada tahun 2010.
Bermula dari membantu kawan-kawan mendapatkan lampin kain moden, saya akhirnya
berjinak-jinak dengan perniagaan lampin kain moden dan mengumpul maklumat di
blog untuk dikongsikan kepada semua orang. Walaupun
sekarang saya lebih aktif dalam berkongsi kebaikan supplement Shaklee dan gaya hidup sihat, saya masih lagi membantu
sesiapa sahaja yang memerlukan bantuan berkenaan lampin kain moden.
Impian?
Seperti orang lain, saya juga punya impian dan matlamat hidup. Dalam keluarga,
matlamat saya ialah membantu suami mewujudkan baitul muslim, membesarkan
anak-anak menjadi mukmin professional agar menjadi saham akhirat kami semua.
Dalam kerjaya akademik, matlamat saya 8 tahun lagi adalah untuk menjadi
cendekiawan dalam bidang Kejuruteraan Persekitaran (Profesor) dan membantu universiti
melahirkan graduan berkualiti. Dalam kehidupan peribadi, dalam masa 2 tahun
lagi saya ingin menunaikan haji. Saya juga ingin mengembara ke seluruh dunia,
melihat bumi Allah dan budaya manusia yang pelbagai. Saya ingin membantu
masyarakat membudayakan kehidupan mesra alam. Dalam masa 10 tahun lagi saya
juga ingin jadi billionaire mukmin yang
menolong masyarakat maju. Ya Allah, banyak lagi impian dan matlamat saya. Namun
segala matlamat ini tak lain hanya sebagai jambatan kepada matlamat utama saya
untuk bahagia selama-lamanya bersama insan-insan tersayang di syurga nanti.
Amin…
RW
Comments
Post a Comment