Pesan Makanan Secukupnya Sahaja

Teks: Rafeah Wahi




Siapa yang suka makan di luar? Ramai dari kalangan kita sering makan di luar, sama ada kerana tuntutan kerja, kekangan masa atau sekali-sekala berkumpul makan bersama keluarga atau rakan-rakan. Namun demikian, saya sering perhatikan makanan yang dipesan tidak habis dan bakinya dibiarkan sahaja, tidak dibawa pulang.

Statistik menunjukkan bahawa lebih kurang separuh daripada sampah sarap yang dihasilkan di Malaysia berasal dari sisa makanan. Sisa organik seperti sisa makanan yang dibuang ke pusat pelupusan sampah menimbulkan bau busuk dan mengundang kedatangan serangga dan haiwan tertentu. Sisa organik juga meningkatkan penghasilan air larut lesap (leachate) yang menjadi punca pencemaran air dan tanah. Saya rasa sudah tiba masanya kita melakukan sesuatu yang mudah dilakukan oleh sesiapapun, tetapi memberi impak yang amat signifikan - Pesan makanan secukupnya sahaja.

Amalkan berkongsi makanan untuk anak kecil di bawah 6 tahun kerana mereka tidak makan banyak. Contohnya boleh pilih menu yang disepakati anak-anak dan minta 3 pinggan kosong agar makanan tersebut dapat dibahagikan sesama mereka. Jika mereka ingin tambah, barulah tambahkan lagi. Sekurang-kurangnya tiada pembaziran berlaku.

Anda boleh juga pesan 1 menu yang sama dalam untuk sekeluarga berkongsi. Contohnya, saya masih ingat ketika saya masih kecil, ayah akan memesan mi goreng RM5, dan dia meminta tuan kedai untuk meletakkan mi goreng tersebut dalam mangkuk besar. Dia juga meminta beberapa pinggan kecil. Jadi kami sekeluarga berkongsi bahagia makan mi goreng RM5. Mi goreng dikongsi penuh berkat, habis namun mengenyangkan. Bayangkan kenangan ini saya ingat walaupun telah lebih 30 tahun berlalu, maknanya kenangan seperti inilah kenangan terindah yang akan anak-anak anda kenang nanti kan?

Berhati-hati juga makan secara buffet. Walaupun anda boleh makan sebanyak mana yang anda mahu, ini tidak bermakna anda harus mengisikan pinggan anda sepenuhnya namun kemudian membazirkannya. Ingat, orang-orang yang membazir itu saudara syaitan. Walaupun anda membayar untuk hadir buffet itu, hormatilah makanan dan ambil makanan dalam jumlah yang anda benar-benar sanggup makan sahaja.

Itu hanya sebahagian contoh mudah. Banyak lagi cara anda mengurangkan pembaziran makanan. Paling penting, jangan pesan makanan sekiranya belum benar-benar lapar. Jika perlu, bawa bersama bekas makanan anda sendiri untuk anda bawa pulang bahagian makanan yang tidak habis, untuk anda makan di rumah nanti.

Saya selalu juga bawa pulang makanan yang tidak habis ke rumah. Petuanya, asingkan dahulu awal-awal bahagian yang hendak dimakan, jika kurang barulah tambah lagi. Itulah gunanya peti sejuk. Anda simpan makanan lebih di situ dan panaskannya esok hari untuk di makan :-)

Salam sayang penuh mesra alam,

RW

Comments

Popular posts from this blog

Apabila pensyarah lambat muat naik nota kuliah

10 sebab untuk sambung PhD

Jelajah Alam dengan Permainan Mencari Harta Karun