Beg Percutian Macam Beg Pindah Rumah?

Teks: Rafeah Wahi


Musim cuti sekolah ini ramai yang balik kampung atau pergi makan angin dengan keluarga masing-masing. Indahnya amalan itu, selain merehatkan minda dan meluaskan pengalaman, sangat baik untuk merapatkan silaturrahim.

Beg balik kampung atau beg melancong anda seberat mana? Adakah macam nak pindah rumah atau bercuti setahun? Kalau boleh, biarlah seringan yang mungkin. Tahukah anda, berat berlebihan dalam but kereta atau kargo kapal terbang menyebabkan penggunaan bahan api berbanding biasa. Akibatnya, anda perlu tuang lebih bahan api berbanding jika tiada muatan berlebihan.

Kajian juga menunjukkan bahawa untuk setiap penambahan 45 kg beban kereta, ia mampu mengurangkan kecekapan bahan api sebanyak 2 peratus. Ya, 2 peratus mungkin kedengaran tidak banyak, namun kalau kita kira semula berapa jauh perjalanan sepanjang percutian itu, banyak bahan api yang sudah digunakan secara tidak cekap atau dengan kata mudahnya, membazir.

Penggunaan bahan api berlebihan, seperti mana yang kebanyakan orang tahu, menyumbang kepada pencemaran alam sekitar dan peningkatan gas rumah hijau. Peningkatan paras gas rumah hijau di atmosfera bumi menyebabkan pemanasan global dan perubahan cuaca dunia yang mendadak dan tidak menentu.

Ada beberapa tips mudah yang boleh diamalkan untuk menjadikan beg percutian anda lebih mesra alam:

1. Jika bepergian seminggu, tidak perlulah sediakan pakaian untuk seminggu. Memadai sekiranya ada bekalan pakaian untuk dua tiga hari. Setiap penghujung hari percutian, basuhlah terus pakaian kotor sahaja agar cukup pakaian.

2. Pilih kasut, baju dan seluar yang mempunyai warna satu tema, boleh disuaipadan dan sesuai untuk kebanyakan keadaan.

3. Jangan lupa membawa keperluan sunnah bepergian seperti berus gigi, sikat dan cermin kecil. Selain daripada itu, tidak perlu dirisaukan. Kalau ada tempat mandi, pasti ada sabun dan syampu :-)

4. Pilih pakaian dari fabrik yang ringan.

5. Jika anda bepergian dengan anak-anak kecil dan bayi, pastikan semua pakaian mereka dari fabrik yang serap peluh dan selesa. Pakaian bercorak dan berwarna gelap boleh dipakai lebih lama berbanding pakaian berwarna cerah sebab kurang potensi nampak comot.

6. Jika ada bayi, pilih untuk menggunakan penggendong bayi berbanding stroller. Ia lebih ringan dan jimat ruang.

7. Jangan lupa ubat demam, minyak angin dan "toiletries" bayi, semuanya dalam paket/botol kecil.



Mungkin ada lagi tips yang tidak tersenarai di sini, namun saya percaya jika tips-tips di atas diamalkan dalam gaya anda mengemas beg percutian, pasti percutian anda hebat dan mesra alam.


Sekian dulu, salam sayang penuh mesra alam dari saya.

Rafeah Wahi

Comments

Popular posts from this blog

Apabila pensyarah lambat muat naik nota kuliah

10 sebab untuk sambung PhD

Jelajah Alam dengan Permainan Mencari Harta Karun